Search This Blog

Wednesday, November 12, 2014

sabariah pengusaha telekong





BAGI yang sudah bertahun-tahun berkerja, pastinya detik bergelar pesara menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang berdebar-debar, bimbang, tertunggu-tunggu dan tidak ketinggalan juga yang teruja untuk menempuh alam persaraan dengan pelbagai perancangan.

Namun bagi Sabariah Maulud, 63, tempoh persaraan yang dilalui kira-kira lapan tahun lalu, bukan sahaja menyediakan lebih masa dan ruang bersama keluarga. Malah detik itu turut menjadi titik permulaan penglibatan beliau secara serius dengan kemahiran membuat telekung sehingga memiliki jenama tersendiri iaitu Sabariah Telekung.


Bagaimana Sabariah Telekung bermula?

Pada awalnya bidang jahitan telekung ini dipilih sekadar untuk mengisi masa lapang selepas bersara nanti. Menyedari minat dan mempunyai pengetahuan asas bidang jahitan baju menyebabkan makcik rasa jahitan telekung adalah pilihan yang tepat dan bersesuaian, apatah lagi, adik-beradik sebelah suami ramai yang lebih dahulu terlibat dalam bidang ini.

Oleh itu, sebelum bersara lagi, makcik telah mula belajar secara tidak formal daripada adik ipar. Jadi apabila sahaja bersara pada 2000, makcik terus bermula dengan dunia dan kerjaya baru, itupun tidaklah secara serius.

Ia masih pada tahap suka-suka dan dalam proses memperbaiki kualiti jahitan. Waktu itu makcik membuat telekung untuk saudara mara, anak-anak dan mereka yang mengetahui sahaja.

Tiga tahun kebelakangan inilah, dengan sokongan padu daripada seluruh keluarga, akhirnya makcik memberanikan diri menceburinya secara serius.

Pada awalnya makcik agak keberatan kerana bimbang sekiranya tidak dapat memenuhi tempahan yang diterima. Sebelum dibuat secara serius pun, rasanya macam tidak menang tangan terutamanya pada musim-musim tertentu.

Makcik juga ada menerima tempahan mereka yang mahu memperbaiki telekung yang sedia ada. Kebiasaannya mereka mahu membetulkan pada bahagian muka telekung. Sebenarnya, untuk tujuan ini kerjanya lebih remeh kerana kita terpaksa membuka semula telekung yang siap tadi dan memulakan proses pembuatan dari asal.

Selain itu, makcik takut dikatakan riak dan mengejar keuntungan duniawi semata-mata lebih-lebih lagi, telekung itu perkara yang berkait rapat dengan soal ibadah dan akhirat.

Namun bila difikirkan masak-masak, apa yang dilakukan ini adalah untuk kebaikan ummah, barulah makcik yakin. Pun begitu, makcik sentiasa mengingatkan diri bahawa apa yang diusahakan ini bukan bermatlamat keuntungan semata-mata tetapi semoga aurat Muslimah dalam solat sentiasa terjaga. Itulah prioriti dalam kerja-kerja makcik ini.

Ramai yang memandang sebelah mata bidang jahitan telekung berbanding dengan jahitan pakaian, langsir yang diakui lebih komersial.  Sebelum makcik mengambil keputusan belajar menjahit telekung, makcik bolehlah sedikit-sedikit menjahit baju kurung dan baju Melayu. Sekurang-kurangnya, lepaslah untuk pakaian anak-anak dan suami.

Tetapi apabila mula belajar menjahit telekung, barulah makcik tahu, ia tidaklah semudah yang dilihat terutamanya pada bahagian dahi dan dagu. Di situlah terletaknya keselesaan pemakai, setiap kali menyarungkan telekung pada diri.

Agak lama jugalah makcik hendak memahirkan jahitan di bahagian muka telekung. Berkat kesabaran dan minat mendalam dalam bidang ini, akhirnya semuanya berjaya dilalui.

Bagi makcik setiap jenis jahitan itu, ada cabarannya yang tersendiri. Cumanya makcik lebih suka kepada menjahit telekung, itu yang walau apa cabaran dan kesukaran, ia dihadapi sebaik mungkin.

Malah pada awal-awal dahulu pun, ada anak tidak bersetuju dengan pilihan makcik tetapi apabila mereka melihat sambutan yang diterima, akhirnya mereka turut sama berminat untuk belajar selok-belok menjahit telekung dan pada masa yang sama sentiasa memberi sokongan.

Kerja menyiapkan telekung memerlukan tanggungjawab, kesabaran serta minat yang mendalam. Apa tidaknya, ia banyak memerlukan kita tekun dalam satu tempoh yang panjang. Sebab itulah, makcik rasa salah satu kemungkinan mengapa ia kurang diminati ramai, terutamanya golongan muda adalah berpunca dari faktor di atas ini.

Walaupun begitu, setelah lebih lima tahun terlibat dalam bidang ini, rasa penat, pengorbanan masa yang banyak untuk menyiapkan sehelai telekung itu terasa hilang bila melihat mereka yang memakai telekung buatan makcik nampak selesa, kemas dan paling bermakna ialah mereka berpuas hati.

Makcik tidak kisah kalau ada pelanggan itu datang semula untuk memperbaiki mana yang kurang, kerana bagi makcik apabila mereka seronok dan gembira memakainya itu lebih utama daripada ganjaran upah semata-mata.

Buat masa ini belum ada lagi perubahan yang mendadak, sebab buat masa sekarang pun tidak menang tangan dibuatnya. Setiap hari makcik akan mula menjahit selepas solat Subuh dan berhenti apabila masuk waktu solat atau menyiapkan kerja-kerja tertentu. Ia berterusan sehinggalah pukul 2 pagi.

Biarpun begitu, makcik ada juga bercita-cita untuk menurunkan segala ilmu yang ada kepada anak-anak yang berminat serta makcik mengalu-alukan mana-mana individu atau kumpulan yang berminat untuk belajar bidang jahitan telekung.

Mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 03-6188 3400 Sabariah yang beroperasi dari rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Tua Baru, Batu Caves, Selangor. Kelas ini insya-Allah akan dikendalikan di rumah sahaja.

Makcik menceburi bidang ini pun pada awalnya bukan kerana sebab bisnes semata-mata tetapi lebih kepada untuk mengisi masa pencen dan sekadar hobi.

Namun setelah sekian lama terlibat dalam bidang ini, makcik akhirnya tidak keberatan untuk ditemuramah kerana sekurang-kurangnya membuktikan kepada masyarakat umum bahawa apa juga bidang yang kita ceburi itu, pasti menemui kejayaan sekiranya kita sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakal.

Malah untuk berjaya dan terus maju itu tidak mustahil dengan syarat kita kena rajin dan berminat.


Powered by WPeMatico

0 comments:

Post a Comment