Kemampuan PLS Disegani
Daripada satu lot rumah kedai, perniagaan berkembang hingga ruang operasi diperluaskan di lima lot rumah kedai. Pekerja juga ditambah daripada 15 orang kepada 50 orang.
Selepas lima tahun, sebidang tanah seluas 0.32 hektar di Kawasan Perindustrian Bukit Rahman Putra (BRP), Sungai Buloh dibeli dan didirikan kilang.
Itu adalah perkembangan membanggakan syarikat pembuat peralatan permainan kanak-kanak Bumiputera,
Pro-Landscape Structure (PLS) Sdn Bhd.
Syarikat berkenaan dibangunkan Faris Abd Halim, 42, yang bertindak sebagai pengarah urusan dan rakan kongsinya, Faisal Isa, 36, sebagai pengarah eksekutif.
Kedua-duanya mengambil keputusan mengusahakan perniagaan yang asing bagi usahawan Bumiputera itu selepas menimba pengalaman dalam bidang berkenaan selama beberapa tahun.
Faris memiliki ijazah dalam Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Sydney, Australia, kembali ke tanah air selepas 10 tahun menetap di negara terbabit kerana melanjutkan pengajian dan menimba pengalaman kerja.
Sekembalinya ke Malaysia pada 1994, beliau bekerja di sebuah syarikat penyedia peralatan kanak-kanak selama setahun.
“Keadaan ekonomi waktu itu masih bagus dan kita masih boleh memilih kerja. Saya bekerja selama setahun di syarikat penyedia peralatan permainan kanak-kanak terbabit.
“Waktu itu tiada orang Melayu terbabit dalam bidang itu. Jangan kata pemilik syarikat, jurujual pun tidak ada. Semuanya dikuasai bukan Bumiputera,” katanya.
Beliau kemudian bekerja dengan sebuah lagi syarikat yang terbabit dalam bidang itu selama lima tahun. Bermula sebagai jurujual selama dua tahun, beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi pengurus besar selama setahun dan dua tahun selepas itu menjadi antara pengarah syarikat yang menguruskan hal ehwal pemasaran di seluruh negara.
Hasil pengalamannya serta pengalaman Faisal yang memegang jawatan terakhir sebagai pengarah di syarikat itu, mereka mengambil keputusan berhenti untuk sama-sama membangunkan syarikat sendiri, Pro-Landscape Structure (PLS) Sdn Bhd.
Berbekalkan simpanan RM300,000, Faris dan Faisal memulakan perniagaan. PLS mendapat projek daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju perumahan. Antara projek besar diperoleh PLS ialah daripada Majlis Perbandaran Seberang Prai bernilai RM1.5 juta pada 2001.
Sejak mendapat kepercayaan mengendalikan projek besar, pelanggan semakin yakin dengan prestasi PLS. Syarikat semakin berkembang dan mereka kemudian berpindah ke kilang sendiri pada April 2008. Jumlah pekerja juga bertambah menjadi 70 orang.
PLS memasang alat permainan kanak-kanak di seluruh PBT di Malaysia serta pemaju perumahan, termasuk di Sabah dan Sarawak. Lebih membanggakan, syarikat itu mendapat piawaian ISO 9001:2000 dan Sirim MS 966.
PLS yakin mendapat satu lagi pengiktirafan produk yang mampu menaikkan prestasinya sebagai syarikat penyediaan peralatan permainan kanak-kanak disegani.
Pengiktirafan antarabangsa berkenaan iaitu TUV EN 1176 dijangka diperoleh penghujung bulan ini membolehkan PLS menembusi pasaran antarabangsa. Ini akan menjadikan PLS syarikat Bumiputera pertama mendapat tiga pengiktirafan.
“Kami yakin tiket Bumiputera membantu menaikkan perniagaan kami tetapi apapun, kami perlukan kekuatan lain iaitu memenuhi piawaian ditetapkan.
“Dengan pengiktirafan yang diterima, tiada siapa boleh pertikai kekuatan kami dalam bidang ini,” katanya.
Menurutnya, pemaju yang ingin mendapatkan sijil layak menduduki (CFO) wajib menyediakan peralatan permainan kanak-kanak di sebahagian daripada lanskap taman dan alat permainan itu mesti mempunyai rekaan menarik dan memenuhi selera kanak-kanak seperti berwarna ceria.
“Keselamatan adalah keutamaan iaitu tidak boleh ada bahagian peralatan permainan kanak-kanak yang tajam atau membahayakan kanak-kanak. Disebabkan itu, ia perlu bersandarkan piawaian yang ada,” katanya.
Nilai tambah PLS sebagai syarikat penyedia peralatan permainan kanak-kanak ialah produk mereka diinsuranskan sebanyak RM1 juta serta jaminan sehingga lima tahun.
Jika berlaku kemalangan terhadap pengguna disebabkan kegagalan reka bentuk atau kesan daripada bahan yang digunakan bagi pembuatan produk, pengguna boleh menyaman syarikat.
“PBT pula tidak perlu pening kepala jika kejadian seumpama itu berlaku kerana syarikat memberi jaminan akan bertanggungjawab jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
PLS yang juga pembekal peralatan senam riang untuk dewasa, gelanggang serba guna seperti badminton, futsal dan bola jaring serta menyedia perabot taman, kini antara tiga syarikat penyedia peralatan permainan kanak-kanak terulung di Malaysia yang mampu bersaing dengan syarikat bukan Bumiputera.
Tahun lalu PLS mula memasarkan peralatan ini secara agresif ke luar negara. Peralatan dipanggil Sistem Permainan Si Comel itu mula mengintai pasaran luar pada 2006 apabila mendapat tempahan daripada Iraq dan Mauritius diikuti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Iran, Vietnam dan Bangladesh pada 2007.
PLS berharap jualan untuk luar negara dapat ditingkatkan bagi mengurangkan tekanan akibat tempias kelembapan ekonomi tahun ini.
PLS adalah vendor kepada Sime Darby, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Uda Holding dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) manakala pelanggan utamanya ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Johor Bahru Tengah (MBJBT), Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Profil Usahawan Kreatif
NAMA : Faris Abdul Halim
UMUR : 44 tahun
ASAL : Alor Star, Kedah
JAWATAN : Pengarah Urusan Pro-Landscape Structure Sdn Bhd
ISTERI : Yus Zamzida Yahaya
ANAK : Nabiilah (19); Numan (17); Ammar (16); Ashraf (14); Haris (13) dan Ferhad (2)
Tips Usahawan Kreatif
Kualiti Produk Jadi Keutamaan
"Bukan senang untuk membangunkan perniagaan ini. Ketika memulakan perniagaan, saya dan Faisal bekerja tujuh hari seminggu. Kami percaya, untuk maju dalam perniagaan, seseorang itu perlu bekerja keras dan bermula dari bawah.
"Ketika mula berniaga, kami cuma ada sebuah lori. Faisal memandu lori dan saya sebagai kelindan. Kami menguruskan perniagaan dalam lori dan menghantar dan memasang sendiri peralatan kanak-kanak di taman untuk mendapatkan pengalaman," kata Pengarah Urusan Pro-Lanscape Structure Sdn Bhd, Faris Abd Halim.
Sehingga kini, katanya, walaupun mereka mempunyai tujuh kakitangan di bahagian jualan, beliau dan rakan kongsi, Faisal Isa 36, masih lagi membuat jualan dan berurusan dengan pelanggan. Malah, mereka masih lagi ke luar negara untuk menyertai pameran.
Anak kelima daripada lapan beradik ini bukan datang daripada keluarga yang menjalankan perniagaan. Allahyarham bapanya, Abd Halim Abdullah adalah bekas guru manakala ibunya, Ishah Bee Abdul Rahman, 72, suri rumah. Malah, abang dan kakaknya turut bekerja makan gaji.
Menurut bapa enam anak ini, bekerja sendiri menyebabkan masa sangat terhad, terutama ketika baru membangunkan perniagaan. Sehingga kini, beliau keluar dari rumah jam 7 pagi muncul di pejabat pada jam 8.30 pagi dan pulang ke rumah jam 7 atau 8 malam setiap hari.
Selepas memilih kakitangan dipercayai yang dapat membantu melicinkan perjalanan syarikat, Faris berpeluang meluangkan masa bersama keluarga pada setiap Ahad dan menikmati teh tarik bersama mereka sekitar dua atau tiga kali seminggu.
Menurutnya, walaupun cara pengendalian syarikat dan operasi tidak lagi sama seperti dulu, syarikat akan terus memastikan ia membekalkan perkhidmatan berkualiti, memiliki pekerja berdedikasi dan mendapat kepercayaan pembekal barangan.
"Cabarannya kini ialah memastikan syarikat terus bertahan dalam ketidaktentuan ekonomi, tidak membuang pekerja manakala kenaikan gaji, pangkat dan jualan masih bagus. Sehingga kini kami masih berjaya sebagai satu pasukan yang boleh menyelesaikan masalah, di samping memberi kepuasan kepada pelanggan," katanya yang mempunyai 70 kakitangan.
Menawarkan harga berpatutan tanpa mengorbankan kualiti produk, syarikat pembuat peralatan permainan kanak-kanak itu bersaing dengan syarikat pengeluar lain yang memberi tawaran harga murah.
"Saya rasa tidak salah saya bercakap bagi pihak pengeluar alat permainan kanak-kanak untuk meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Lanskap Negara mewujudkan satu standard piawaian yang diselaraskan untuk seluruh negara dan diguna pakai oleh semua pemaju perumahan.
"Ada kes pengeluar menjual produk dengan harga murah dan tidak berkualiti. Kos dikurangkan melalui penggunaan bahan tidak berkualiti dan saiz tidak memenuhi spesifikasi. Disebabkan tawaran harga lebih murah, ia menjadi pilihan sedangkan hakikatnya, situasi itu merugikan pengguna yang terdedah kepada bahaya," katanya.
Faris berkata, PLS turut menawarkan khidmat selepas jualan dan setiap aduan pengguna akan diatasi sebaik mungkin. Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.si-comel.com atau email proscape@si-comel.com
Petikan Metro Ahad
0 comments:
Post a Comment