Search This Blog

Sunday, October 12, 2014

Kolej Poly-Tech Mara (KPTM)

Pakcik Idola Mohd Razali

Sikapnya yang peramah meskipun baru pertama kali bertemu, terasa bagaikan sudah lama kenal. Bukan saja penulis, tetapi dengan kakitangan juga Datuk Dr Mohd Razali Agus yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Rektor Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) cukup mesra, malah ada ketikanya pandai membuat jenaka.

Itu antara gambaran ringkas anak kelahiran Kajang, Selangor itu yang mudah membuatkan sesiapa yang menemuinya berasa selesa.

Meskipun berjawatan nombor satu dalam KPTM, beliau tidak meninggi diri, malah ketika berbual dengannya, banyak perancangan serta idea dalam kotak fikirannya yang hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.
Di kalangan ahli akademik, nama Mohd Razali tidak asing lagi. Sebelum dilantik ke jawatan sekarang pada 1 September lalu, beliau bertugas sebagai Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) bermula 1 Ogos 2007.

Sebelumnya, bapa kepada lima cahaya mata itu bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaya (UM) dari 2003 hingga 2007.

“Saya sebenarnya mahu merendah diri apabila masuk ke sini (KPTM), malah merancang pelbagai aktiviti untuk kolej, pelajar dan kakitangan. Selepas itu, baru terfikir untuk menghebahkannya,” katanya sambil menghulurkan biodata peribadi seperti diminta.

Penulis yang menerimanya terkejut apabila mendapati biodata itu mengandungi 44 halaman atau muka surat bermula daripada alamat rumah sehingga ke pelbagai aktiviti dilakukan.

Menariknya mengenai biodata beliau, ia memaparkan tarikh dan masa sesuatu peristiwa itu berlaku. Misalnya dalam satu artikel terbitan akhbar Berita Harian bertajuk ‘Persaingan dalam usaha membantu setinggan’, dicatatkan tarikh siarannya pada 9 April 1984.

Selain itu, pelbagai pencapaian dan kejayaan dilalui tokoh akademik berusia 53 tahun itu. Antaranya, beliau pernah dilantik sebagai perunding dan pakar rujuk dalam bidang perancangan bandar raya, perumahan dan setinggan kerana itu kepakarannya.

Hampir 30 tahun dalam akademik, Mohd Razali melahirkan hampir 20 lulusan Doktor Falsafah (PhD) selain menghasilkan 18 buku akademik dan teks ilmiah.

Di samping itu pelbagai jurnal tempatan dan antarabangsa diterbitkan, malah kepakaran beliau menjadikannya sumber rujukan di pelbagai peringkat.

Melihat latar belakangnya, Mohd Razali boleh dikategorikan golongan cerdik pandai dan sebagai bukti, menerima anugerah pelajar terbaik tahun dua dan akhir ketika menuntut di Jabatan Antropologi dan Sosiologi UM, sekali gus menerima Biasiswa Tinggi Universiti dari 1977 hingga 1979.

Begitupun, ‘kecerdikan’ beliau hanya terserlah di tingkatan enam ketika menuntut di MCKK, malah anak kedua daripada tujuh beradik itu tidak malu untuk memberitahu keputusan peperiksaan di sekolah.

“Ketika di tingkatan tiga, masa itu dipanggil LCE, saya dapat Sains agregat 7 tetapi Matematik A. Di tingkatan lima pula, MCE saya dapat gred 2 dengan 26 agregat. Matematik cemerlang berbanding Sains yang kurang saya minati,” katanya.

Kecemerlangan Mohd Razali itu ada kaitan dengan kejayaan bapa saudaranya. Seorang daripadanya, Abu Hassan yang bertugas sebagai guru besar sebuah sekolah di Kajang, mengajarnya Bahasa Inggeris manakala seorang lagi, Buyong Bojok, lulusan Kolej Islam Padang Panjang, Sumatera, mahir dalam matematik.

“Masa itu, kedua-dua pakcik ini idola saya kerana kejayaan mereka. Jadi, setiap hujung minggu saya belajar dengan mereka,” katanya.

Selain belajar, seperti kanak-kanak lain, Mohd Razali juga mengisi masa terluang dengan bermain bersama rakan. Namun, katanya, sebagai anak anggota polis, hidupnya adik-beradik tidak lari daripada disiplin.

“Ayah anggota polis manakala emak pula suri rumah. Sudah tentu ayah berdisiplin, tetapi emak juga begitu. Jika balik selepas Maghrib, memang kena rotan,” katanya.

Begitupun, katanya, hidup dikelilingi bapa saudara yang berjaya banyak mendorong dirinya mengikut jejak langkah mereka.

Ketika di tingkatan enam, Mohd Razali mencatat keputusan cemerlang atau sijil penuh dan berbekalkan itu, beliau memohon menyambung pelajaran ke UM.

Sepanjang di UM, selain belajar, beliau aktif berpersatuan. Mohd Razali pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Mahasiswa Anak-anak Selangor (Permas) serta Pengerusi Persatuan Mahasiswa Anak-anak Selangor IPTA Se-Malaysia.

Sebagai ketua dua pertubuhan itu, Mohd Razali mewujudkan program hujung minggu di sekolah setiap daerah dalam Selangor.

Melalui program itu, beliau bersama rakan lain turun padang ke sekolah ditetapkan untuk memberi kelas tuisyen kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

“Setiap hujung minggu kita tetapkan sekolah mana yang hendak pergi. Dulu tiada sumbangan, malah kita bayar kos mereka seperti tambang bas dan duit makan sepanjang ke sekolah terbabit.

“Program seperti ini yang saya hendak praktikkan di KPTM dan berharap dapat mengubah sikap balik kampung setiap hujung minggu,” katanya.

Berdasarkan kecemerlangan dan keupayaan beliau, tidak sukar untuk Mohd Razali mendapat kerja selepas menamatkan pengajian di UM, malah tidak sampai dua minggu selepas tamat peperiksaan akhir, beliau diterima bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat.

Begitupun, ia tidak lama apabila Mohd Razali diterima bertugas sebagai tutor di UM. Sejak itu, kerjaya beliau dalam akademik bermula sehingga dilantik Naib Canselor Unisel sebelum berpindah ke KPTM.


Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Datuk Dr Mohd Razali Agus

USIA: 53 tahun

LAHIR: 7 Disember 1955 di Kajang, Selangor

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif dan Rektor Kolej Poly-Tech Mara (KPTM)

ISTERI: Datin Zuraidah Zainudin

ANAK: Dr Farah Norwahidah (26); Mohd Haqim (22); Norliana (19); Muhammad Firdaus (16) dan Muhammad Afiq Ikmal (9)

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 9, Cheras; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang, Selangor; Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK); Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (1979); Ijazah Sarjana University of Birmingham, England (1981); Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Cornell University, Amerika Syarikat (1991)

ANUGERAH: Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah, Selangor (DSIS) daripada Sultan Selangor pada 17 Mac 2003 dan Anugerah Khidmat Cemerlang Universiti Malaya, 2003

Tips Usahawan Kreatif
Anjur Program Rumah Angkat

Hari ini (1 Mac 2009) genap enam bulan Mohd Razali dilantik sebagai Rektor KPTM. Walaupun singkat, pelbagai perancangan atau agenda sudah dan bakal dilakukannya.

Lebih penting, beliau mahu melihat satu hari nanti KPTM dinaiktaraf ke kolej universiti atau universiti selepas 26 tahun penubuhannya.

Kini, daripada 13,000 pelajar melalui enam cawangan di seluruh negara, beliau yakin hujung tahun ini bakal mencecah 20,000 pelajar apabila empat lagi cawangan baru ditubuhkan iaitu di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak.

Untuk menampung jumlah pelajar berkenaan, kursus KPTM turut ditambah daripada 41 sekarang kepada 79 kursus, tambahan 38 kursus baru merangkumi teknikal dan profesional.

Begitupun, KPTM masih menunggu kelulusan 38 kursus baru berkenaan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang dijangka diketahui bulan depan.

“Sebagai sebuah kolej 100 peratus milik Mara, saya berhasrat menjadikan KPTM sebagai IPTS Melayu terbesar negara ini. Dengan syarat kemasukan hanya tiga kredit dalam SPM, inilah peluang yang mesti diambil anak Melayu untuk mendapat pendidikan tertinggi dalam hidup,” katanya.

Menurutnya, sejak menerajui kolej itu, beliau mahu mengadakan pelbagai program bukan saja kepada pelajar, tetapi juga kakitangan.

Antaranya, Mohd Razali memperkenalkan Program Pusat Kerjasama Kolej KPTM dengan industri iaitu mengadakan kerjasama dengan sektor industri untuk menerima pelajar dan pensyarah menjalani latihan praktikal bagi mendapatkan pengalaman.

KPTM turut menjalin hubungan dengan universiti luar negara melalui program berkembar supaya pelajar berpeluang menuntut di universiti terbabit, menjalani latihan industri malah bekerja selepas itu.

“Buat permulaan, kita mengadakan kerjasama dengan universiti di Kanada, England dan Arab Saudi. April ini saya bercadang ke Australia untuk mencari universiti yang boleh kita adakan kerjasama,” katanya.

Menurutnya, melalui cara itu, pelajar dan pensyarah mendapat manfaat apabila bertukar-tukar ilmu selain mempraktikkan pengalaman dimiliki di KPTM.

Mohd Razali turut mencadangkan penubuhan Institut Latihan Usahawan Muda (ILUM) yang menawarkan kursus keusahawanan mengikut model tertentu.

Program yang terbuka kepada pelajar sekolah, penuntut kolej dan universiti itu memberi peluang mereka untuk berniaga dan jika menepati syarat kelayakan, pinjaman untuk mengembangkan perniagaan terbabit boleh dimohon.

“Program ini kita akan jalankan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sekretariat Usahawan Muda Asean serta Institut Keusahawanan Negara (Insken).

“Ia dilaksanakan selama tiga tahun dan mereka perlu mengikut modul ditetapkan. Kita juga akan lantik mentor iaitu syarikat berjaya untuk membimbing mereka dan jika mereka boleh buat sendiri, kita beri peluang mereka jalankan bisnes itu, malah boleh membuat pinjaman,” katanya.

Selain itu, bagi mendekatkan pelajar dengan masyarakat, Mohd Razali mahu mengadakan program memasyarakatkan pelajar di setiap cawangan KPTM.

Melalui program itu, katanya, setiap cawangan akan mengambil dua rumah angkat dan setiap hujung minggu pelajar mengadakan pelbagai aktiviti bersama keluarga rumah berkenaan.

“Kita cadangkan program ini dua ke tiga tahun. Tahun pertama, merancang aktiviti manakala tahun kedua pula melaksanakan dan tahun ketiga, mendapatkan hasilnya.

“Dalam program ini, pelajar dibawa mendekati keluarga yang hidup dalam kemiskinan seperti ibu tunggal, golongan cacat atau orang kurang upaya. Kita mahu mereka lihat dan sedar masih ada insan tidak bernasib baik tetapi mampu meneruskan kehidupan,” katanya.

Petikan Metro Ahad

Shamensi Holdings Sdn Bhd

Strategi Jadi Modal Niaga

“Kata orang, bisnes mesti keluarkan modal, idea dan jaringan. Bukan tak boleh bisnes, tetapi tidak cukup kuat kalau tidak disertai strategi.

“Dengan adanya strategi, berniaga tidak perlukan semua itu. Itulah modal saya selama ini,” kata Ketua Pengawai Eksekutif Shamensi Holdings Sdn Bhd, Hishamudin Mohamad, 39.

Memulakan perniagaan dengan modal RM1,000 yang diperoleh daripada wang biasiswa pengajian di universiti, Hishamudin kini meraih keuntungan berlipat ganda.
Selepas 18 tahun dalam dunia perniagaan dan umur hampir mencecah 40 tahun, pemilik syarikat penyedia kelengkapan Muslim dan pasar raya 24 jam ini berhasrat melihat kebolehan berniaga dimilikinya memberi manfaat kepada masyarakat dan agama.

Meneliti senarai anak syarikat diterajui Hishamudin, terasa bagaikan perniagaan adalah sesuatu yang mudah baginya. Tambahan pula, slogan ‘business is simple’ turut tertulis pada kad perniagaan dan seorang kakitangannya turut mengiyakan telahan itu.

Hishamudin mengakui cabaran sememangnya ada, khususnya kekangan modal dan pengetahuan dalam teknologi. Apapun, banyak kekurangan dan kelemahan yang ada dapat diatasi menerusi strategi bijak.

Untuk ilmu perniagaan, beliau menggunakan strategi terbaik dari Timur dan Barat selain ditambah nilai Islam. Baginya, keputusan perlu cepat dan tepat. Beliau turut merancang menubuhkan satu syarikat setiap bulan meliputi pelbagai bidang.

“Setiap manusia dikurniakan Allah dengan kelebihan dan saya diberikan kebolehan berniaga. Saya ingin gunakan kelebihan yang Allah kurniakan untuk membantu menegakkan agama Allah.

“Saya memegang kata-kata guru saya, kalau kita kejar dunia, dunia akan lari. Jika kita kejar akhirat, dunia akan kejar kita,” katanya.

Menurutnya, ada empat kategori kerja iaitu bekerja makan gaji, bekerja sendiri, orang bekerja untuk orang itu dan keempat, duit bekerja untuknya. Bagaimanapun, beliau tidak mahu sampai ke tahap empat, sebaliknya mahu bekerja untuk agama.

Hishamudin tidak pernah makan gaji walau sehari kerana dari awal lagi beliau berniaga. Darah orang berniaga begitu kuat mengalir dalam dirinya.

Arwah ibu bapanya, Madiah Akasah dan Mohamad Ismail menjalankan perniagaan runcit menerusi pembukaan tujuh rangkaian Muhammad Store di Klang. Apabila cuti semester, beliau menguruskan perniagaan keluarga. Malah, sejak tahun pertama pengajian di Universiti Malaya lagi, beliau terbabit dengan perniagaan. Setiap kali pesta konvokesyen, beliau berpakat dengan rakan dan menyewa empat hingga lima gerai. Satu gerai menjual jubah yang dijahit kakaknya, satu lagi menjual barangan keluaran Bumiputera, jagung bakar serta tom yam.

“Pada waktu sama, saya membekalkan bahan mentah kepada 20 gerai tom yam di pesta konvokesyen itu. Apa saja keperluan mereka seperti ikan, ayam, rempah dan sayur, saya sediakan. Untuk pesta selama empat hari, keuntungan diperoleh mencecah RM10,000 melalui perancangan selama sebulan,” katanya.

Ketika di tahun dua pengajian, kakaknya, Jamaliah yang mempunyai kedai jahitan bagi tempahan jubah terpaksa meninggalkan perniagaannya kerana menghadapi masalah.

Disebabkan sayangkan perniagaan itu, Hishamudin mengambil alih tetapi menukar strategi dengan menjual jubah siap. Apabila perniagaan itu bertambah maju iaitu melalui pembukaan bengkel di Klang dengan lima tukang jahit, beliau memanggil semula kakaknya bagi menguruskan bengkel jahitan berkenaan.

“Pesan orang tua yang saya ingat sehingga kini ialah, budi bahasa tidak pakai modal. Jangan sombong dan kalau tidak tahu senyum, jangan berniaga,” katanya yang mengambil jurusan Asasi Sains dan Sains Komputer di UM.

Ramai mengatakan, orang berniaga perlu mengambil risiko, namun bagi Hishamudin kenyataan itu kurang tepat.

“Bagi saya, perkataan tepat ialah bijak mengendalikan risiko. Misalnya, ketika gawat, strategi perlu diubah supaya perniagaan tidak jatuh,” katanya.

Hishamudin berkata, situasi sama pernah dilalui bapanya yang ingin mengembangkan perniagaan dari Klang ke Cheras. Pada awalnya, bapanya membuka perniagaan kelengkapan beribadat umat Islam, namun disebabkan waktu itu penduduk belum ramai dan permintaan kurang, bapanya menukar kepada perniagaan runcit iaitu Pasaraya Pak Aji.

“Ini contoh menyelesaikan masalah pelanggan dan mendapat kepercayaan pelanggan. Bayangkan jika kita cuba jual makanan di rumah orang kenduri,” katanya.

Pasaraya Pak Aji pernah mengalami kemerosotan apabila bapanya meninggal dunia pada 1998. Pada 2000, beliau menukar strategi menjadikan ia pasar raya beroperasi 24 jam, harga kompetitif dan pasar segar. Pasar raya itu turut memasarkan produk halal keluaran Muslim.

Kini Shamensi ada beberapa cawangan, antaranya Ampang, Bandar Tun Hussein Onn, Green Town Mall dan Greentown Nova, Ipoh.

Mengikut perancangan, Shamensi dan Pasaraya Pak Aji akan difrancaiskan mulai tahun depan. Kos bagi francais ialah antara RM300,000 hingga RM400,000 dan institusi kewangan terkemuka sanggup memberi pinjaman bagi program itu. Beliau mensasarkan dua tahun bagi melahirkan 200 francais.

Hishamudin turut menawarkan peladangan kontrak bagi sayuran, limau, serai dan cili padi kepada yang berminat. Bahan berkenaan akan dipasarkan di rangkaian Pasaraya Pak Aji yang akan dibangunkan di seluruh negara.

“Melalui syarikat kami, Total Solution Agro Biz Consultant Sdn Bhd, kita memberi peladangan kontrak, khidmat nasihat sebelum menanam dan ketika menanam, khidmat geran permulaan, teknik pertanian, pasaran selamat dan terjamin serta harga yang menguntungkan,” katanya.

Hishamudin yang mempunyai 150 kakitangan turut melatih mereka menjadi usahawan dengan menjadi rakan niaganya.

“Saya tidak mahu orang bekerja dengan saya, tetapi mahu mereka berniaga dengan saya. Saya banyak perniagaan dan tidak mahu tamak. Saya tidak mahukan dunia tetapi mahu bekerja kerana akhirat, iaitu dapat memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Tahun depan, beliau merancang membangunkan kilang pakaian Muslim yang lebih besar dengan 300 pekerja manakala pada 28 Jun ini, akan diadakan majlis pecah tanah hub halal terbesar di dunia di tapak seluas 1.6 hektar.

Hishamuddin dengan usaha sama rakan kongsi juga dalam usaha mewujudkan perkampungan Islam di Pinggiran Putra, Putrajaya di kawasan seluas 2.4 hektar.

Sebanyak 20 lot banglo akan dibina di kawasan berkenaan, selain masjid dan menara yang boleh melihat kawasan Putrajaya. Di tapak berkenaan juga akan didirikan hotel. Projek berkenaan akan dimulakan pada Januari 2010. 

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Hishamudin Mohamad

UMUR: 39 tahun

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Shamensi Holdings Sdn Bhd

SYARIKAT: Shamensi Clothing Sdn Bhd; Shamensi Garment Sdn Bhd; Shamensi Islamic Hotel Sdn Bhd; Pak Aji Marketing Sdn Bhd; Pak Aji Holdings Sdn Bhd; Pasaraya Pak Aji Sdn Bhd; Al-Husaini Sdn Bhd; Simple Technologies Sdn Bhd; Latest Technologies Sdn Bhd; Green Ideas Printing & Advertising Sdn Bhd; Jom Halal Event Management Sdn Bhd; Koperasi Pengedaran Produk Muslim Bhd; Shamensi International Islamic Business School (Unisel) dan Total Solution Agro Biz Consultant Sdn Bhd

ASAL: Kampung Kuantan, Klang

ISTERI: Rozlina Md Nasir

ANAK: Aina Syuhaidah (14); Firdaus Husaini (12); Anwar Husaini (11); Ainin Nadiah (9); Nisa Syakirah (7); Nuraliah Huda (6), Muhammad al-Husaini (4) dan Ainur Mardhiah (3)

Tips Usahawan Kreatif
Jika penuntut lain menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran ketika menuntut di menara gading, Hishamudin pula bukan saja giat berniaga di kolej dan ada perniagaan sendiri, malah turut memikul tanggungjawab sebagai suami.

Dalam usia 22 tahun, anak ke-10 daripada 11 beradik itu nekad berkahwin dengan pilihan hatinya, Rozalina Md Nasir, 39, biarpun masih bergelumang dengan buku.

Bagaimanapun, memikul tiga tanggungjawab sekaligus iaitu penuntut, usahawan dan suami bukan masalah bagi Hisamudin kerana beliau bijak merancang.

Isterinya yang kini menunggu masa untuk melahirkan anak ke-10 dikenali ketika sama-sama menuntut di Universiti Malaya.

Rozlina yang mengikuti kursus perubatan pada mula menangguhkan pengajiannya apabila mengandung dan melahirkan anak mereka pada tahun empat pengajian.

Bagaimanapun, selepas hidup berkeluarga, hasrat menamatkan pengajian dikuburkan begitu saja demi memberi tumpuan kepada keluarga. Bagaimanapun, anak sulung mereka meninggal dunia ketika berusia empat bulan.

"Disebabkan tidak menjadi doktor, isteri membantu saya membangunkan syarikat. Bagaimanapun, sampai satu tahap, dia kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga iaitu menjadi isteri dan ibu. Tambahan pula keluarga kami semakin besar, manakala syarikat ada kakitangan yang menguruskan bahagian masing-masing," katanya.

Biarpun sibuk dengan perniagaan, Hishamudin yang minat membaca tetap meluangkan masa mencedok ilmu daripada buku.

"Orang berniaga macam saya mana ada masa baca buku. Saya baca tajuk utama dan tajuk dalam setiap bab bagi mengetahui kandungan buku. Saya juga memberi buku yang dibeli kepada kakitangan untuk dibaca dan saya akan bertanya apa yang mereka peroleh daripada pembacaan itu.

"Itu caranya saya mendapat ilmu daripada pembacaan buku. Jika tidak,  saya juga membaca buku pada jam 3 atau 4 pagi," katanya. 

Petikan Metro Ahad

Ecodam Capital Holdings Sdn Bhd

Daaie Ketagih Berniaga

Bertemu dan berbual dengannya, bagaikan sudah lama saling kenal-mengenali. Sikapnya yang selamba dan mesra menjadikan Mohd Daaie Mohd Heffney mudah didekati.

Tidak hairanlah, dalam usia 24 tahun, anak kelahiran Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu mampu berdikari, malah memiliki syarikat yang mengendalikan urus niaga mencecah ratusan juta ringgit.

Mohd Daaie atau Daaie adalah Ketua Pegawai Eksekutif Ecodam Capital Holdings Sdn Bhd, syarikat yang terbabit dalam urusan import eksport bijih besi, arang batu dan industri balak.
Manakala di Malay Associates Nego-trade (Mantrade Trading) iaitu syarikat yang beroperasi sebagai broker perdagangan untuk mendapatkan pelbagai jenis barang dari China, pemuda itu adalah Pengarah Urusan.

Menariknya mengenai Mantrade, ibu pejabatnya di Guangzhou, China manakala cawangannya di Hong Kong dan negara ini.

Mungkin tidak ramai tahu bahawa Mantrade Trading adalah syarikat Bumiputera, apatah lagi lokasi perniagaannya di China dan Hong Kong, namun apabila berurusan dengan syarikat itu hampir semua kakitangan, termasuk jawatan tertinggi, adalah orang Melayu.

Yang membanggakan, gabungan idea kreatif Daaie dan rakan kongsinya, Roseman Roos Affandey, menjadikan syarikat itu semakin mendapat sambutan bukan saja usahawan negara ini, tetapi juga luar negara.

Mengenai Daaie, anak muda ini boleh dikatakan 'lain daripada yang lain'. Apa tidaknya, ketika rakan lain belajar, dia pula sibuk berniaga.

Pada masa rakan lain gembira bukan kepalang memasuki universiti, dia pula mencari peluang bisnes di lokasi universiti terbabit.

Bukan tidak mahu belajar tetapi bagi dirinya, akademik tidak memberi jaminan, sebaliknya minat lebih penting untuk membangunkan diri.

"Saya tidak malu untuk berkata, saya lari ketika menuntut di UiTM, Shah Alam, malah sejak di sekolah rendah, menengah dan matrikulasi, saya kerap ponteng kelas.

"Boleh dikatakan di setiap tempat yang saya belajar, saya diberi kaunseling. Sebabnya, saya selalu ponteng atau tidak hadir kelas dan berniaga di dalam sekolah.

"Sebenarnya bukan tidak minat belajar, tetapi saya fikir pelajaran tidak menjamin masa depan. Berapa ramai yang berpendidikan tinggi hari ini tidak dapat kerja?" katanya.

Mungkin bagi sesetengah pihak, kata-kata Daaie itu tidak relevan, tetapi anak kedua daripada enam beradik itu sudah membuktikan kebenarannya.

Meskipun tidak tamat belajar dan menggenggam segulung ijazah, Daaie kini antara usahawan Melayu berjaya, malah tidak keterlaluan dikatakan dia kini boleh dikategorikan sebagai usahawan jutawan.

Sejak sekolah rendah hingga menengah, hidup Daaie tidak lari daripada perniagaan. Pada usia sembilan tahun atau tahun tiga, Daaie menjual air tauhu di Jalan Ampang.

Ketika perniagaannya mula mendapat sambutan, pihak berkuasa merampas barangan berniaga disebabkan tidak mempunyai lesen dan mengikut peraturan.

"Ketika tahun empat, saya menjual nasi lemak di sekolah. Orang lain bawa buku, saya bawa tiga beg nasi lemak dengan untung 50 sen setiap satu.

"Namun selepas empat bulan, kantin mengadu kepada sekolah kerana murid tidak beli nasi lemak di situ lagi. Saya diberi kaunseling," katanya.

Tidak putus asa mencari wang sendiri, ketika tahun lima, Daaie menjalankan bisnes sebagai orang tengah atau posmen untuk murid yang hendak bercinta.

"Tugas saya bukan sekadar menjadi posmen untuk mengirim surat tetapi menjadi konsultan kepada mereka seperti bercerita kepada murid perempuan mengenai kelebihan murid lelaki yang mahu berkasih dengannya.

"Setiap kerja, saya kenakan bayaran RM30 ke RM50. Namun ia tidak lama apabila kegiatan itu diketahui guru dan saya kena kaunseling lagi," katanya.

Berbekalkan wang yang ada hampir RM10,000 hasil perniagaan dilakukan, Daaie membuka bengkel motosikal di Kampung Pandan pada usianya 12 tahun.

"Bagi menjadikan bengkel ini tumpuan remaja, saya sertai lumba haram dan apabila mengenali mat rempit, saya bawa mereka ke bengkel. Bisnes ini juga tidak lama apabila diserbu pihak berkuasa dan saya sekali lagi diberi kaunseling," katanya.

Disebabkan selalu membuat hal, bapanya, Mohd Heffney Abdul Rahim, menghantar Daaie ke Sekolah Menengah Agama Batu 10, Cheras. Sukar membuang tabiat berniaga, dia menjalankan bisnes menjual makanan ringan dan pada hujung minggu membantu rakan menjual ikan di pasar.

Selepas Penilaian Menengah Rendah, Daaie melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Agama Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Di sini juga saya berniaga iaitu jual buah durian penduduk kampung, selain menjual ibu gula kepada peniaga. Banyak jugalah dapat untung," katanya.

Selepas tamat tingkatan lima, Daaie berniaga di pasar malam menjual pakaian bundle, tetapi tidak berjaya kerana ramai berniaga barangan sama.

"Disebabkan tidak boleh pergi, saya menjual pula alat mainan yang diperoleh melalui kenalan dari Thailand," katanya.

Daaie kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor selepas berjaya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

"Di kolej ini saya pernah tidak pergi kelas selama tiga bulan sebab berniaga alat mainan. Saya kerap ke Kuala Lumpur mengambil barang dan ketika itu saya kenal Roseman.

"Kemudian saya mendapat tawaran ke UTM di Skudai dan di sini pula saya membekal alat ganti motosikal berkuasa tinggi yang diambil dari Singapura dan dijual di Kuala Lumpur," katanya.

Setahun di UTM, Daaie menerima tawaran ke UiTM, Shah Alam. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, tawaran itu memudahkan lagi Daaie berniaga.

Meskipun ditawarkan kursus Kejuruteraan Kimia, namun minat berniaga melebihi minat belajar.

"Seperti tempat lain, di UiTM juga saya kerap ponteng sehingga pensyarah kata, keluar nanti saya layak jadi pekerja sapu sampah.

"Saya tidak kisah dan nekad tidak mahu kerja makan gaji. Apabila sudah nekad, saya berhenti belajar dan tumpu perhatian kepada perniagaan," katanya.

Sejak itu, katanya, dia bersama Roseman memantapkan bisnes yang dijalankan Mantrade Trading, malah lebih agresif mencari usahawan.

Daaie berkata, pencapaiannya dalam perniagaan banyak dididik ibunya, Rozita Yahaya yang mempunyai kedai makan selain bapanya.

"Saya tidak malu menyatakan saya anak bekas penagih dadah. Ayah menagih hampir 25 tahun tetapi kini dia sudah bebas dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Dia idola saya kerana daripada penagih, ayah boleh berubah menjadi manusia," katanya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Mohd Daaie Mohd Heffney

USIA: 23 tahun

LAHIR: 16 Disember 1985 di Kampung Pandan, Kuala Lumpur

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Ecodam Capital Holdings Sdn Bhd; Pengarah Urusan Malay Associates Nego-trade (Mantrade Trading)

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Nirwana, Ampang, Selangor; Sekolah Menengah Agama Batu 10 Cheras, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Agama Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor; Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik

Petikan Metro Ahad

Kuzie Catering & Wedding

Pak Engku Jaga Amanah Pelanggan

Mempunyai hati ‘besar’ dan berani menanggung risiko adalah kunci kejayaan Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku, 48, dalam membangunkan perniagaan Kuzie Catering & Wedding yang sering menjadi pilihan ramai.

Kejayaan yang dikecapi hari ini bukan diperolehi dengan jalan mudah, sebaliknya didampingi usaha gigih dan minat mendalam dalam bidang yang dilakukan.

Pak Engku begitu mementingkan kualiti dan menjaga ‘amanah’ yang diberi pelanggan sebaik mungkin. Ia juga faktor yang menjadi aset penting untuk perkhidmatan beliau terus dipercayai dan bertahan sebagai satu
jenama penyedia katering yang mempunyai reputasi membanggakan.

Kuzie Catering yang ditubuhkan 15 tahun lalu terus unggul biarpun banyak penyedia katering tumbuh macam cendawan selepas hujan. Ia menjadi pilihan bagi acara besar anjuran sektor korporat dan kerajaan, selebriti dan orang kenamaan.

Pak Engku yang digelar chef selebriti pernah mengendalikan majlis perkahwinan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Ning Baizura dan kini, Mawi dan Ekin. Biarpun sudah dikenali dan mempunyai nama besar dalam bidang itu, Pak Engku tetap mengambil tempahan untuk acara kecil serta majlis amal.

“Saya tidak tetapkan harga dan mudah bertolak ansur mengikut kemampuan pelanggan termasuk bagi majlis amal. Inilah satu-satunya katering yang tidak ada pemasaran kerana pelanggan boleh terus menghubungi saya untuk tempahan,” katanya.

Menelusuri jejak hidupnya, lima belas tahun lalu, Pak Engku hanyalah seorang budak kampung yang bekerja sambilan sebagai pelayan pejabat di sebuah kementerian selepas selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, beliau jenis yang tidak suka menganggur walaupun sehari dan kerana itu, cuti dua bulan ketika menunggu keputusan peperiksaan digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman kerja.

Anak bongsu daripada lapan beradik ini tidak mahu menyusahkan ibunya yang bergelar ibu tunggal selepas kematian bapa ketika beliau berusia empat tahun. Ibunya, Raja Halimah Raja Bagus, (meninggal dunia empat tahun lalu) bekerja sebagai tukang masak istana bagi menyara mereka sekeluarga.

Pak Engku meneruskan pekerjaan sebagai pelayan pejabat selama dua tahun dan pada masa sama, bekerja sambilan sebagai pelayan hotel di Petaling Jaya bagi menikmati kehidupan lebih selesa.

“Gaji RM135 pada 1987 sebagai pelayan pejabat tidak dapat menampung kehidupan selesa, cuma lepas untuk makan. Ini menyebabkan saya melakukan dua pekerjaan pada satu masa dan dalam sebulan, mampu memperolehi RM600 hingga RM700,” katanya.

Beliau kemudian mendapat tawaran kerja sebagai kerani di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Di sana, beliau belajar bersikap ramah, bekerja dengan jujur dan amanah. Pak Engku memberi perkhidmatan yang baik dan disenangi ramai.

Waktu di pejabat Exco Selangor itu, Pak Engku sudah mula berniaga kecil-kecilan dengan mengambil tempahan katering dari pejabat serta pihak luar.

Beliau kemudian mendapat tender kantin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sejak itu mula dikenali dalam dunia katering.

Dua tahun mengusahakan kantin UiTM, Pak Engku mendapat katering pertama yang besar daripada Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang ketika itu menjadi menteri besar Selangor.

Sejak itu, namanya lebih dikenali, ditambah dengan pengiklanan cara mudah dan berkesan yang dilakukannya iaitu mengedarkan 10,000 hingga 12,000 tisu ketika majlis berlangsung.

Kuzie Catering terus mendapat kepercayaan mengendalikan acara besar pada zaman menteri besar Selangor seterusnya iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sehinggalah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau tidak menyangka biarpun pemerintahan kerajaan Selangor bertukar pucuk pimpinan parti, khidmat katering beliau terus mendapat kepercayaan mengendalikan acara, misalnya majlis rumah terbuka Aidilfitri pada Hari Raya pertama anjuran kerajaan negeri, baru-baru ini.

“Saya fikir balik, orang pilih Kuzie Catering bukan sebab politik, tetapi atas dasar profesionalisme saya dalam bidang ini.

“Saya tidak menyangka, daripada seorang budak kampung, saya kini dapat berkenalan dan bertemu pemimpin tertinggi, selebriti, bintang filem dan ahli sukan luar negara kerana mengendalikan perkhidmatan ini.

“Kejayaan yang dikecapi bukan dengan jalan mudah, tetapi disebabkan usaha gigih dan kesungguhan,” katanya yang turut mendapat tempahan katering daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menurutnya, beliau tidak mengambil katering banyak dalam satu masa bagi menumpukan sepenuh perhatian pada tempahan yang diterima pada waktu itu.

“Jika ada pihak yang minta pada waktu yang sama, saya akan tolak cara baik,” katanya.

Ditanya pengalaman pahit yang pernah ditempuh sepanjang mengendalikan katering, Pak Engku berkata, beliau terlupa yang pahit sebab jika diingat akan membuatkannya marah dan disebabkan itu, beliau hanya menyimpan kenangan manis.

“Alhamdulillah, pelanggan yang cerewet jadi tak cerewet apabila berurusan dengan saya. Mana yang ada masalah lambat bayar, tidak ada masalah pula bila berurusan dengan saya.

“Saya ni pandang orang setengah jam atau satu jam, tahulah macam mana saya hendak ambil hati dia. Kalau yang tak ramah, akan jadi ramah. Biasanya saya akan buat ‘homework’ sebelum jumpa seseorang,” katanya.

Disebabkan kehilangan bapa pada usia masih kecil, Pak Engku begitu menghargai nilai kasih sayang, mudah menyayangi dan seorang yang cepat mesra.

Walaupun sudah berjaya, Pak Engku tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dilakukannya dan sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatannya.

“Saya akan meninjau pasar malam untuk mencari makanan yang istimewa dan sedap rasanya. Saya redah semua pasar malam mencari makanan yang menjadi kegemaran ramai serta orang yang pakar dalam sesuatu masakan.

“Cara ini juga dapat membantu peniaga kecil seperti penjual apam balik, kuih tradisional, putu piring, kuih dangai, sotong bakar atau kuetiau goreng.

“Seperkara yang saya ambil kira ialah dekorasi kerana ini mampu membangkitkan selera,” katanya.

Beliau melebarkan perniagaan kepada pengendali pakej perkahwinan sejak lima tahun lalu merangkumi pakej awal hingga akhir seperti pakaian pengantin, pelamin, kanopi, katering, kugiran, gamelan, juruiring tradisional, pembaca doa, kompang, jurugambar, juruvideo dan kek kahwin.

Kuzie Katering turut mempunyai dewan sendiri di Grand Cattleya Ballroom di Tingkat 4, Wisma PKPS, Shah Alam yang boleh menampung 700 orang.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Raja Rosly Raja Mazlan.

UMUR: 48 tahun.

ASAL: Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor.

KERJAYA: Pengarah Urusan Kuzie Catering & Wedding.

ISTERI: Ramziah Samah, 42.

ANAK: Raja Muhammad Danial, 12; Raja Putri Zarith Sania, 10 dan Raja Muhammad Harith Irfan, 9.
 

Petikan Metro Ahad

Ita Produk Sdn Bhd

 Jenama 'Anak' Suriati

“Jenama ibarat anak. Sebaik dilahirkan, menjaganya memerlukan perancangan bijak dan pembiayaan yang banyak. Selepas menempuh pelbagai penderitaan dan tangisan, akhirnya Ita berjaya menaikkan nilai tambah kepada produk,” kata Pengarah Urusan Ita Produk Sdn Bhd (Ita), Suriati Rahman.

Berkat usaha gigih syarikatnya sejak beberapa tahun lalu, kini Ita berwajah baru dengan produk terbarunya, sos barbeku lada hitam dengan enam perasa.

Ditubuhkan pada 2003 melalui gabungan ahli persatuan wanita (Usahanita) dengan Suriati menjadi pengerusi ketika itu, Ita menjadi platform kepada ahli yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah untuk
memasarkan produk mereka.

Namun, lawatan dagang ke Sarawak mencetuskan idea kepada usahawan wanita itu untuk meluaskan perniagaan membabitkan produk makanan.

Katanya, dalam kunjungannya ke kilang makanan dalam tin milik orang Islam, beliau mendapati Ita berpeluang menjalin kerjasama untuk menjadi pengedar barangan makanan halal memandangkan tiada ejen memasarkan produk berkenaan di Semenanjung Malaysia.

Daripada situ, makanan dalam tin seperti sardin, kari daging, kari ayam, daging lembu kisar, kaya dan rendang ayam dipasarkan mengikut program promosi anjuran badan kerajaan seperti ekspo dan pasar tani.

Beliau berkata, melalui strategi pemasaran Ita, Tesco menunjukkan minat lalu mengundang syarikat terbabit menjadi pembekal produk dalam tin kepada pasar raya itu.

Pada 2003, Ita menerima anugerah syarikat baru harapan daripada Tesco di atas komitmen dan keupayaan memenuhi permintaan bekalan pasar raya hiper itu.

Lebih membanggakan, Ita juga berjaya memperluaskan pasaran ke pasar raya hiper lain seperti Carrefour, Giant dan Mydin.

Dalam setiap perniagaan, cabaran tidak dapat dielakkan, apatah lagi membabitkan soal kewangan.

Ia terjadi kepada Ita apabila menjadi vendor pasar raya hiper kerana memerlukan modal tinggi untuk bersaing dengan syarikat besar.

Sokongan pengiklanan dan promosi (A&P) adalah sesuatu yang tidak mampu dilakukan Ita, ditambah pula kesedaran terhadap jenama dan produk membuatkan Ita menunjukkan kemerosotan dari setahun ke setahun.

“Apabila produk dalam tin rosak, ia dipulangkan semula kepada syarikat. Kami juga perlu mematuhi pelbagai terma lain yang tidak mampu dilakukan kerana kurang pengetahuan dan persediaan.

“Pengajaran di atas pengalaman dilalui Ita, usahawan yang ingin menembusi pasaran pasar raya hiper perlu faham sepenuhnya mengenai kos pengeluaran. Kadangkala kita terlalu ghairah untuk memasuki pasaran pasar raya hiper tanpa membuat persediaan untuk menghadapi cabaran yang datang,” katanya.

Beliau berkata, syarikat hampir lumpuh kerana menanggung kerugian daripada potongan dikenakan akibat kegagalan pihaknya sebagai pembekal.

Cabaran getir terpaksa dilalui dari 2005 hingga 2007 apabila tidak mampu membuat pusingan modal.

Dengan bantuan seorang rakan yang menjadi rakan kongsi perniagaan serta pemegang saham, Sabariah Din, Suriati menghasilkan produk baru.

“Berikutan pengalaman dilalui dan selepas membuat penyelidikan, Ita menghasilkan produk yang boleh diterima dan kurang risiko. Produk baru iaitu sos barbeku lada hitam hasil pengalaman tiga tahun saya mengikuti misi dagangan ke luar negara bersama Matrade.

“Idea menghasilkan sos barbeku lada hitam tercetus ketika lawatan ke Eropah dan China. Saya dapati, ia digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara. Gaya hidup di Malaysia yang inginkan makanan disediakan dengan cepat tetapi menyihatkan juga memberi semangat kepada saya untuk menghasilkan produk ini.

“Sos ini boleh digunakan pelbagai cara seperti perap, goreng, dimasak, dicicah atau sos barbeku. Ia didatangkan dengan pelbagai perasa bagi memberi pilihan kepada pengguna,” katanya.

Produk baru ini kini memasuki pasaran Giant di 41 cawangan seluruh Semenanjung Malaysia dan rangkaian Save More yang dimiliki Padi Beras Nasional (Bernas).

Suriati menjelaskan, beliau dulu suka membeli produk saingan dan membuat perbandingan daripada segi nilai yang pengguna dapat.

Selepas membuat perbandingan dan kajian, beliau dapati ada baiknya memberi pengetahuan kepada pengguna mengenai khasiat pemakanan daripada produk Ita.

“Makanan yang bagus ialah tiada kolesterol. Kita tidak akan jumpa produk yang ada label begitu. Ini membuatkan saya terpanggil untuk menyediakan maklumat mengenai bahan dan khasiat pemakanan. Maklumat ini penting bagi mereka yang ingin mengamalkan diet,” katanya.

Suriati berkata, selepas berjaya mengukuhkan pasaran tempatan, Ita ingin menumpukan terhadap pasaran luar negara. Produk sos barbeku lada hitam Ita mula memasuki pasaran United Kingdom (UK) akhir bulan lalu.

Berhasrat melupakan terus produk lamanya, Ita kini mengintai peluang memasarkan produk sos barbeku lada hitam ke Australia, Indonesia dan Iran yang dijangka dapat direalisasikan sehingga akhir tahun ini.

“Jika diberi pilihan, makanan runcit bukan perniagaan yang saya minati kerana memerlukan modal besar dan cabaran bersaing di pasaran terbuka. Banyak pengorbanan perlu dilakukan bagi membolehkan orang mengenali produk kita.

“Pulangan daripada pelaburan serta kepercayaan pelanggan bukan boleh diperoleh dalam tempoh singkat. Namun, hakikat yang perlu kita terima ialah perniagaan makanan tiada putusnya, orang tetap makan,” katanya.

Disebabkan itu, Suriati menyertai bidang makanan walaupun menempuh bahang keperitan bertahun-tahun lamanya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Suriati Rahman
 
UMUR: 57 tahun
 
ASAL: Meru, Klang
 
JAWATAN: Pengarah Urusan Ita Produk Sdn Bhd
 
SUAMI: Hassan Omar
 
ANAK: Bakhtiar (38); Nor Batty (36); Safri (29) dan Shahirul Syafiq (25)

Petikan Metro Ahad

Kamal & Kamal Pest Control Sdn Bhd

Hussein Kamal Mewah Dek Serangga

Siapa sangka, pekerjaan yang dulu dilakukan secara sam bilan selepas menduduki peperiksaan Malaysian Certificate Examination (MCE), kini menjadi perniagaan yang berkembang maju, malah meletakkan nama syarikatnya sebaris syarikat antarabangsa.

Pengarah Urusan Kamal & Kamal Pest Control Sdn Bhd, Hussein Kamal Omar berkata, segala-galanya bermula apabila beliau merantau ke Kuala Lumpur untuk berdikari sebaik saja selesai menduduki peperiksaan MCE di Methodist Boys School, Pulau Pinang.

Anak keempat daripada sembilan beradik itu berkata, setibanya di ibu kota beliau menimba pengalaman kerja
di Munafar Pest Control iaitu syarikat kawalan serangga milik Bumiputera di Gombak.

Menurutnya, selama enam bulan pada 1970, beliau me lakukan kerja kawalan serangga di Pelabuhan Klang, Uni versiti Malaya (UM) dan Institut Penyelidikan Getah, Kuala Lumpur serta rumah persendirian.

“Ketika itulah saya berpeluang bertemu dengan orang besar, berpangkat dan berpengaruh yang tidak pernah ditemui ketika masih bergelar pelajar sekolah.

“Sejak sekolah lagi, saya bercita-cita melanjutkan pelajaran di UM dan kesempatan melakukan khidmat kawalan serangga di universiti itu memberi saya peluang menjejakkan kaki ke menara gading itu,” katanya berseloroh.

Berdasarkan keputusan peperiksaan MCE, Hussein Kamal mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Institut Tek nologi Mara (kini UiTM), di Shah Alam.

Disebabkan tarikan pusat pengajian terbaru itu, beliau menerima tawaran itu biarpun terpaksa mengenepikan ta waran melanjutkan pembelajaran di tingkatan enam yang memberi imbuhan elaun kepada sesiapa yang memasu kinya.

“Walaupun saya tidak tahu apa itu ITM, tapi saya tertarik untuk belajar di sana kerana mahu hidup berdikari,” katanya yang juga Pengarah Urusan Kamal & Kamal Healthcare Sdn Bhd.

Selepas tiga tahun menjalani pengajian Diploma Pen tadbiran Awam di ITM, Hussein Kamal melanjutkan pe ngajian ke peringkat sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan di Amerika Syarikat (AS).

Sekembalinya dari AS, beliau bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat antarabangsa. Beliau juga sering bertukar kerja untuk mencari pengalaman termasuk menjadi remiser.

Bagaimanapun, apabila pasaran saham jatuh merudum, beliau kehilangan kerja. Mujur isterinya, Che Ros Pendek, bekerja waktu itu dan dapat membantu ekonomi keluarga.

Hussein Kamal juga pernah bertugas di bahagian operasi di sebuah syarikat membekal peralatan dan kawalan kebersihan, namun tidak sempat mengambil gaji pertama kerana bekerja hanya untuk menimba pengalaman dan mengetahui sistem kerja.

Dalam pada memikirkan apa yang harus dilakukan selepas berhenti kerja, beliau turut menerima beberapa tawaran kerja lain, namun hatinya lebih kuat untuk bekerja sendiri iaitu dengan membuka perniagaan.

Pada 1985, bermodalkan RM5,000 baki duit bekerja sebagai remiser, Hussein Kamal membuka perniagaan kawalan se rangga. Waktu itu, beliau tidak terlalu memikirkan ke untungan, sebaliknya hanya menumpukan kerja mengawal lipas, semut dan tikus yang diamanahkan pelanggan.

Khidmat kawalan serangga belum begitu popular di negara ini dan beliau bersaing dengan syarikat antarabangsa yang mempunyai nama kukuh dalam industri itu.

Perkhidmatan syarikatnya digunakan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berasal dari AS dan United Kingdom yang sudah biasa dengan perniagaan itu di negara masing-masing.

Servis individu yang diberikan menampakkan peluang cerah untuknya maju dalam bidang berkenaan kerana untuk khid mat kawalan serangga, Hussein Kamal mendapat bayaran penuh lebih awal untuk kontrak selama setahun.

Syarikatnya mendapat kontrak Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri bagi mengatasi masalah anai-anai. Projek terbesar pernah diterima Kamal & Kamal Pest Control ialah kerja membaik pulih Masjid Negara bagi pencegahan serangga perosak dan dengan rezeki itulah beliau dapat menunaikan haji.

“Waktu mula bertapak dalam dunia kawalan serangga, papan tanda perniagaan pun tak ada di hadapan pejabat Kamal & Kamal Pest Control di Bandar Tun Razak.

“Selepas berhenti kerja di syarikat membekal peralatan dan kawalan kebersihan, rakan saya di syarikat itu banyak mem beri khidmat nasihat mengenai operasi syarikat. Sebarang masalah, dia akan cuba bantu selesaikan kerana berpe ngalaman luas dalam bidang berkenaan.

“Ketika Kamal & Kamal sedang rancak mendapat projek, ada satu syarikat beria-ia hendak tahu, siapa Hussein Kamal. Kami akhirnya bertemu ketika kami membuat lawatan tapak di tempat yang sama,” katanya.

Kamal & Kamal Pest Control mempunyai tiga cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Perak. Beliau turut menubuhkan syarikat membekal alat kebersihan, dispenser dan alas kaki iaitu Kamal & Kamal Healthcare Sdn Bhd sejak 13 tahun lalu.

Selepas berpuluh tahun membangunkan Kamal & Kamal Pest Control serta Kamal & Kamal Healthcare, Hussein Kamal kini menyerahkan beberapa urusan syarikat kepada anaknya sebagai persediaan untuk pengambilalihan.

Anak sulungnya, Mustaffa Kamal, 28, mengendalikan ba hagian operasi, Kamariah menjaga kewangan, pentadbiran dan pengurusan syarikat manakala Azlan Kamal, mengu ruskan bahagian pemasaran.

Sementara itu, Muhammad Kamal kini sedang mengambil kursus untuk mengendalikan kerja di pelantar minyak dan apabila lulus dan mendapat sijil, barulah syarikat itu boleh menjalankan kerja kawalan serangga di kawasan berkenaan.

Hussein Kamal bercita-cita membangunkan Kamal & Kamal sebagai satu empayar serta menjadi pakar dalam bidang kawalan serangga.

“Saya mahu syarikat ini menjadi besar dan mendatangkan manfaat kepada orang lain serta menjadi perniagaan keluarga. Saya lihat, di Australia, banyak syarikat dibangunkan oleh ahli keluarga dan terpampang di papan tanda syarikat. Ada syarikat kawalan serangga di sana yang sudah sampai ke generasi ketiga,” katanya.

Kini teknologi digunakan dalam kawalan serangga semakin canggih seiring kepesatan teknologi. Teknologi mesra alam iaitu Nemesis Baiting System dipraktikkan dalam pengawalan serangga dan tidak menggunakan ramai tenaga kerja.

Menurutnya, Kamal & Kamal Pest Control menggunakan bahan kimia yang didaftarkan dengan Lembaga Racun Makh luk Perosak yang diketahui sah serta dijamin keberkesanannya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Hussein Kamal Omar.
 
UMUR: 56 tahun.

PENDIDIKAN: Diploma Pentadbiran Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ijazah Sarjana Muda Augustana College, South Dakota, Amerika Syarikat (AS) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Marshall University, West Virginia, AS.

JAWATAN: Pengarah Urusan Kamal & Kamal Pest Control Sdn Bhd dan Kamal & Kamal Healthcare Sdn Bhd.

ASAL: Singapura.

ISTERI: Che Ros Pendek, 51.

ANAK: Mustaffa Kamal, 28; Azlan Kamal, 27; Nur Ka mariah, 25; Muhammad Kamal, 22; Nur Kamaliah, 21; Safiah Kamila, 18; Sarah Kamila, 17; Akmal Kamal, 16, Aman Kamal, Amirul Kamal, 12 dan Asma' Kamila, 11.


Petikan Metro Ahad

Docnan Industries Sdn Bhd

Cetakan Emas Wan Hasnan

Gelaran doktor atau ‘doc’ pada pangkal namanya mengundang pelbagai reaksi berbeza di kalangan pelanggan hinggakan ada yang melabelnya sebagai pakar pencetak pakaian.

Tidak kurang juga beranggapan beliau hanya ‘syok sendiri’ kerana sengaja meletakkan gelaran itu selepas cita-cita ingin menjadi doktor tidak kesampaian.

Namun pada hakikatnya beliau memang doktor veterinar bertauliah kelulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) tetapi terpaksa beralih arah karier selepas impian membuka ladang ternakan tidak kesampaian.
“Impian itu saya simpan sejak di tingkatan dua, namun terpaksa saya lupakan selepas menyedari bidang itu memerlukan modal besar dan saya tidak mahu menyusahkan keluarga,” kata Dr Wan Hasnan Wan Idris, 36.

Menurutnya, selepas gagal merealisasikan impian sebaik menamatkan pengajian di UPM pada 1997 dalam bidang Doktor Perubatan Veterinar, beliau sekadar menjual serunding daging di sekitar pasar malam di Kuala Lumpur bagi mencari sumber kewangan.

Bagaimanapun usaha niaga beliau cuma bertahan beberapa bulan sebelum Dr Wan Hasnan pulang ke Kelantan dan beralih pula kepada perniagaan yang tidak pernah terlintas di fikirannya, iaitu membuka kedai mencetak pakaian.

“Terus terang, ketika itu saya tidak tahu apa-apa mengenai bidang itu tapi percaya ia ada potensi besar untuk maju. Oleh itu, didorong semangat tidak mahu dilabel sebagai graduan menganggur, saya nekad mencuba perniagaan itu.

“Pada peringkat awal perniagaan itu saya usahakan di rumah ibu bapa saya di Pengkalan Kubor, Tumpat dengan modal permulaan cuma RM500.

“Untuk mendapat pelanggan pula saya pergi dari rumah ke rumah bagi mengambil upah mencetak pakaian pelajar sekolah, kolej dan universiti.

“Pada awalnya mereka hanya membuat tempahan sehelai dua baju kerana tidak yakin dengan perniagaan saya. Namun selepas berpuas hati dengan hasil kerja saya mereka terus menempah sehingga 50 hingga 100 helai.

“Pelanggan suka produk saya kerana bahan digunakan berkualiti serta tahan lama manakala caj dikenakan murah,” kata anak muda itu yang pernah meraih gelaran Anugerah Usahawan Muda Mara bagi Sektor Pembuatan dua tahun lalu.

Itu pengalaman awal dilalui oleh Dr Wan Hasnan ketika mengasaskan perniagaannya dan kini selepas kira-kira 10 tahun bekerja keras syarikatnya, Docnan Industries Sdn Bhd (DISB) berkembang pesat.

DISB didaftarkan pada 17 April 2003 iaitu kesinambungan daripada Docnan M&M Enterprise yang memulakan operasi pada akhir 1999. Syarikat itu beroperasi sepenuhnya di Jalan Pengkalan Chepa, Tanjong Mas, Kota Bharu dan mempunyai dua cawangan di Tanah Merah.

Dengan aset membabitkan 20 mesin percetakan terkini dan 80 pekerja, DISB kini berupaya mengeluarkan pelbagai produk termasuk pakaian, cenderamata, beg, alat tulis, lencana, topi, barangan keperluan sekolah, banner dan banting.

Terbaru DISB menerusi anak syarikatnya, Dr Beg Industries turut melakukan cetakan pada beg pelbagai saiz dan jenis dalam usaha mempelbagaikan produk keluarannya.

Bagi mengembangkan empayar perniagaannya, pada 2003, bapa lapan anak itu berjaya mendapatkan pinjaman RM215,000 daripada Mara untuk dijadikan modal pusingan serta membeli mesin sulam pertama berharga RM115,000 selain menyewa dua lot kedai dan sebuah kilang jahitan.

Dr Wan Hasnan yang kini bergelar Pengarah Urusan DISB berkata apa yang dicapainya kini adalah bukti golongan Bumiputera turut mampu bersaing dalam perniagaan mencetak pakaian biarpun berdepan pelbagai halangan dan kesukaran.

“Disebabkan tiada pengetahuan mengenai percetakan pakaian, pada peringkat awal saya terpaksa belajar menerusi buku dan Internet selain mendapat tunjuk ajar daripada rakan lebih berpengalaman.

“Kekurangan modal menyebabkan saya tak mampu mengiklankan syarikat saya di media. Jadi, medium saya mempromosi produk ialah di ekspo dan karnival.

“Malah pada peringkat awal saya juga terpaksa berhutang dengan kawan dan keluarga hanya untuk membeli sebuah mesin menghasilkan butang lencana berharga RM1,800. Hasil semua kepayahan itulah saya memiliki apa yang saya ada hari ini,” katanya.

Dr Wan Hasnan berkata, beliau kini puas hati kerana produk keluaran Docnan bukan saja mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan di Kelantan tapi juga menjadi sebutan di kalangan pengguna di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

Di sebalik kejayaan diciptanya, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah lupa pesanan ibunya, Hanisah Yaacob, 65 dan bapa, Wan Idris Wan Hamat, 63, yang mahu beliau sentiasa bersyukur serta tidak mudah lupa diri.

“Sebab itu saya sentiasa mengingatkan kakitangan DISB supaya menjalankan kerja dengan jujur dan amanah, termasuk memberi khidmat terbaik kepada pelanggan bagi memastikan pelanggan tidak ‘berpaling tadah’ kepada syarikat lain,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Dr Wan Hasnan Wan Idris

Jawatan : Pengarah Urusan Docnan Industries Sdn Bhd

Umur : 36 tahun

Asal : Tumpat, Kelantan

Pendidikan : Ijazah Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Isteri : Ayudalita Abdullah

Anak : Nur Afikah (12); Muhammad Rizqan (10); Muhammad Iqbal (8); Hana Umairah (6); Muhammad Ridhwan (5); Farah Najihah (3); Raihan Amani (setahun setengah) dan Muhammad Firdaus (tiga bulan)

Anugerah : Anugerah Usahawan Muda Mara (Sektor Pembuatan) Peringkat Kebangsaan 2007, Anugerah Usahawan Muda Mara 2006 (Sektor Pembuatan) Peringkat Kelantan dan Penyewa Terbaik Premis Perniagaan Mara Peringkat Kelantan 2001

Tips Usahawan Kreatif

Guna Mesin Cetak Digital
DISB maju selangkah lagi dalam operasinya apabila bakal melabur RM1.5 juta bagi membawa masuk mesin digital berteknologi tinggi ke negeri ini yang akan digunakan untuk mencetak terus pada kain sutera, batik dan linen.

Apabila memperoleh mesin itu kelak yang dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun depan, DISB akan menjadi syarikat percetakan pakaian terulung di Kelantan yang menggunakan mesin percetakan digital itu.

“Sebelum ini mesin itu hanya digunakan di negara maju selain Korea Selatan, China dan Jepun. Kelebihannya ialah saya boleh memberi pelanggan kebebasan memilih jenis cetakan pada kain sutera, linen atau batik mengikut selera masing-masing dengan kadar harga berpatutan,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, Dr Wan Hasnan turut mewujudkan satu butik khusus iaitu koleksi linen dan batik di kedai pamerannya di Tanjung Mas di Jalan Pengkalan Chepa dalam usaha memperkenalkan produk berkenaan kepada pelanggannya.

Bagi memastikan perjalanan operasi DISB berjalan lancar, Dr Wan Hasnan juga akan membina bangunannya sendiri yang membabitkan tiga lot kedai dengan keluasan 9,000 kaki persegi yang dijangka siap sepenuhnya Ogos tahun depan.

Ditanya mengenai misi dan visi syarikatnya, Dr Wan Hasnan menjelaskan, khidmat terbaik sebelum dan selepas kepada pelanggan adalah ‘senjata’ paling utama yang menjadi pegangannya sebaik memulakan perniagaan itu.

Namun Dr Wan Hasnan berkata, visi syarikat sebenarnya ialah menjadikan DISB sebagai syarikat Bumiputera terbesar dalam pengeluaran pakaian, beg, cenderamata serta pusat sulaman berkomputer dan silkscreen di Pantai Timur menjelang 2010.

“Misi syarikat pula ialah sentiasa menyediakan produk serta rekaan terbaru yang penuh meyakinkan dan inovatif selain mengekalkan mutu dan kualiti perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Saya yakin kombinasi kakitangan berpengalaman serta mesin terbaik mampu memenuhi visi dan misi syarikat dalam menghadapi persaingan yang semakin sengit,” katanya yang turut meletakkan sasaran untuk menguasai pasaran Pantai Timur dengan membuka cawangan di Kuala Terengganu dan Kuantan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Bagi memantapkan operasi perniagaan selain ingin memudahkan orang ramai berurusniaga dengan DISB, Dr Wan Hasnan mewujudkan dua laman web iaitu www.docnan.com.my dan www.baju2u.com.

Petikan Metro Ahad

Orisahanif Enterprise

Pak Embong Jutawan Keropok

Mengenangkan kehidupannya yang miskin lebih 25 tahun lalu, siapa sangka beliau boleh menjadi jutawan hanya mengusahakan keropok.

Itulah pencapaian menakjubkan Taib Muda, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Embong yang tidak mengenal kegagalan atau putus asa dalam perniagaan bagi memastikan impiannya menjadi usahawan berjaya tercapai.

Bagi penggemar keropok kering dan lekor dari dalam dan luar Terengganu, produk Keropok Ori keluaran Pak Embong bukanlah asing kerana terkenal dengan keenakan dan keasliannya.

Pembabitan awal Pak Embong dari Kampung Kubang Bujuk, Serada, Kuala Terengganu, dalam bidang itu bermula pada 1985 apabila bertekad keluar daripada kepompong kemiskinan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau ketika itu yang bekerja sebagai buruh terpaksa menanggung tujuh anak dengan pendapatan tidak menentu.

“Bayangkanlah dengan gaji sebagai buruh yang tidak seberapa saya terpaksa menanggung ramai ahli keluarga hingga ada ketika mengikat perut semata-mata untuk memastikan anak cukup makan dan pakaian,” katanya yang kini Pengarah Urusan Orisahanif Enterprisetika.

Selepas berbincang bersama isterinya, Suri Ngah Taib, 40, yang setia mengharungi kesusahan dihadapi mereka, Pak Embong mendapat ilham untuk memulakan perniagaan keropok kering dan lekor secara kecil-kecilan.

Walaupun pernah ada kata-kata sinis dilemparkan kepada dirinya dan keluarga ketika memulakan perniagaan, ia dianggap sebagai asam garam dan pencetus semangat untuk terus berjaya.

Dengan bermodalkan RM200, beliau yang masih muda ketika itu membuang perasaan malu apabila sanggup mengayuh beca sejauh 25 kilometer setiap hari bagi mendapatkan bekalan ikan dari jeti Jabatan Perikanan di Pulau Kambing.

Menurutnya, keropok lekor yang siap diproses bersama isterinya itu dijual di sekitar kampung dan bandar Kuala Terengganu.

Rutin mengayuh beca dengan menjaja keropok berterusan lebih sepuluh tahun sebelum keuntungan yang dikumpul dijadikan modal untuk membuka kedai menjual makanan tradisi itu di Paka, Terengganu dan Johor Bharu, Johor pada 2001.

Bagaimanapun, perniagaan berkenaan diserahkan kepada rakan niaganya untuk diuruskan sebagai strategi memperkenalkan jenama Keropok Ori.

Walaupun terpaksa menempuh jatuh dan bangun, termasuk ditipu pada peringkat awal, ia bukan penghalang buat Pak Embong untuk terus bangkit memanfaatkan modal yang dikumpulkan untuk membuka kedai keropok di Kampung Losong Haji Su pada 2006 selain berniaga di pasar malam.

Ternyata usaha dan strateginya tidak sia-sia apabila keropok keluarannya menerima sambutan hangat, terutama daripada orang luar yang bertandang ke perkampungan berkenaan.

Menyedari potensi perniagaan terbabit untuk dikembangkan, Pak Embong berkata, beliau melebarkan sayap perniagaan dengan membuka empat lagi cawangan kedai keropok di Cameron Highlands, Pahang dan Gua Musang, Kelantan awal Januari lalu.

Kini operasi perniagaan keropoknya berjalan lancar dan semua cawangan berkenaan memberi pulangan seperti diharapkannya dengan purata keuntungan RM30,000 sebulan.

Keuntungan itu juga mampu mencecah RM100,000 sebulan pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Dengan memegang prinsip `di mana ada kemahuan di situ ada jalan’, beliau kini boleh berbangga kerana usahanya untuk keluar daripada kancah kemiskinan berjaya, malah mampu memperoleh pendapat lumayan hasil perniagaan keropok.

Pak Embong sekarang banyak menghabiskan masanya mengurus semua cawangan kedai keropoknya selain turun ke padang bertemu pelanggan.

Selain itu, bagi menampung permintaan tinggi bekalan keropok, beliau membuka pusat memproses yang berkemampuan menghasilkan satu tan keropok lekor dan kering setiap hari.

Walaupun hidup semakin mewah dengan hasil perniagaan keropok, Pak Embong tidak pernah melupakan kesusahan dilalui, terutama ketika terpaksa mengayuh beca untuk menjual keropok.

Malah, beliau sanggup menggunakan beberapa kereta mewah miliknya seperti Mitsubishi Evolution, BMW dan pacuan empat roda mengangkut isi ikan yang siap diproses dari pusat memproses sebelum dihantar ke kedainya.

Bagi Pak Embong, kejayaan diperoleh umpama mimpi daripada seorang buruh kini dirinya mampu memiliki kehidupan lebih baik berbanding ketika mula-mula menjalankan perniagaan berkenaan.

“Semuanya ini hasil daripada hasil doa selain keberkatan Tuhan terhadap usaha gigih saya untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

“Walaupun kejayaan ini tidak dikecapi dengan mudah, ia sebenarnya satu hikmah kepada saya supaya sentiasa menginsafi diri walaupun sudah berjaya,” katanya.

Ternyata, pelawat yang datang ke Terengganu menjadikan kedai Pak Embong sebagai destinasi persinggahan yang pasti untuk membeli keropok kering dan lekor.

“Kebiasaannya bas rombongan menjadikan kedai kami ini sebagai pelengkap lawatan mereka bagi mendapatkan keropok yang enak sebagai santapan pulang ke negeri mereka.

“Dengan harga munasabah dan dengan slogan 'Rasa Dulu Baru Beli' membuatkan pelanggan berasa selesa untuk mencuba sebelum membeli,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Taib Muda
 
Umur : 53 Tahun
 
Asal : Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu
 
Jawatan : Pengarah Urusan Orisahanif Enterprise
 
Pendidikan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Isteri : Suri@Ngah Taib

Tips Usahawan Kreatif

Bantu pemuda menganggur, ibu tunggal
“Tiada jalan pintas untuk berjaya, saya sentiasa mengingatkan anak bahawa kehidupan yang selesa kini hasil keperitan hidup dan mereka perlu sentiasa menyedarinya,” kata Taib Muda, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Embong.

Taukeh keropok yang berasal dari Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu itu, berkata kejayaan dikecapi kini mengubah tanggapan orang ramai terhadap perusahaan keropok lekor dan kering yang dianggap tidak menguntungkan.

Beliau menganggap tujuh anaknya Sarita, 24, Mohd Tasbit, 22, Mohd Shahrul, 20, Mohd Arif, 19, Norliana, 18, Mohd Firdaus, 13 dan Mohd Hanif , 6, pencetus kekuatan untuknya terus berusaha.

Pak Embong berbangga kerana tiga daripada anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi hasil titik peluhnya dalam perniagaan keropok.

Hasrat masa depannya untuk mengembangkan perusahaan keropok lekor Terengganu ke seluruh pelusuk tahan air, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau mahu membantu golongan miskin dan anak muda yang menganggur untuk menjadi usahawan keropok.

"Saya juga mempunyai wawasan untuk melihat anak muda yang menganggur, ibu tunggal serta pelajar lepasan sekolah berkecimpung dalam bidang perusahaan keropok lekor kerana mampu meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengatasi pengangguran.

"Niat saya adalah ingin membantu masyarakat, terutama yang berminat untuk berniaga, namun tidak mengetahui cara serta langkah sewajarnya yang perlu diambil bagi memulakan sesuatu operasi perusahaan keropok,” katanya ketika ditemui.

Ini akan dilakukan secara francais dan beliau akan memastikan keaslian produk terjamin mutunya serta halal dimakan.

Kata Pak Embong, beliau tidak lokek untuk berkongsi kemahiran kepada pengusaha baru.

Menurutnya, beliau terharu apabila terpilih sebagai penerima anugerah usahawan cemerlang oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), baru-baru ini.

Beliau turut berterima kasih kepada AIM, Mara, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang banyak membantunya untuk mengembangkan perniagaannya.

Petikan Metro Ahad

Pancaran Matahari Ekspres Sdn Bhd

Uzir Tidak Segan Lagi

Hikmah daripada kegagalan. Ungkapan ini sangat bertepatan dengan kisah dan kejayaan yang dilakar Pengurus Pancaran Matahari Ekspres Sdn Bhd, Mohammad Uzir Salleh, 39.

Kira-kira 22 tahun lalu Uzir memendam rasa apabila melihat rakannya melanjutkan pelajaran ke universiti dan dia tidak mampu menyertai mereka berikutan sekadar mendapat pangkat tiga dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Uzir berkata, dengan kelulusan tidak seberapa itu bapanya, Allahyarham Salleh Abdul Latif menghantarnya bekerja di bengkel milik bapa saudaranya, Ibrahim Abdul Latif untuk menjadi mekanik dan mempelajari
urusan perniagaan.

“Waktu itu saya langsung tidak tahu mengenai enjin, apatah lagi untuk membaiki bas. Bagaimanapun, saya terpaksa akur kerana bapa saya tegas dan serius.

“Ketika di bengkel, saya diajar mengenai enjin serta cara membaikinya. Tekanan kerja ketika itu membuatkan saya hampir menangis kerana tidak dapat mengikutinya.

“Namun saya tetap tabahkan hati, tambahan pula kerana takut kepada bapa, saya teruskan juga pekerjaan itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Alor Star, Kedah baru-baru ini.

Menurutnya, selepas beberapa tahun bekerja di bengkel, dia ditukarkan ke bahagian pentadbiran bagi menguruskan pejabat dan jadual perjalanan bas kilang yang diusahakan bapa saudaranya.

Waktu itu Uzir terpaksa bekerja siang dan malam bagi menentukan perjalanan bas supaya tidak mengganggu perjalanan ke destinasi, terutama ketika bas menghadapi kerosakan.

Dia juga terpaksa bertindak sebagai pemandu jika pemandu bas yang ada mengambil cuti kecemasan.

“Pernah saya tidak tidur semalaman kerana terpaksa menguruskan bas, terutama ketika musim perayaan serta apabila bas menghadapi kerosakan,” katanya.

Menurut Uzir, selepas hampir 20 tahun membabitkan diri dalam pengurusan syarikat bas, dia mula berfikir untuk membuka perniagaan sendiri hasil pengalamannya. Sudah pasti yang terdetik di hatinya ialah membuka syarikat bas ekspres.

“Ketika itu baru saya sedar tindakan bapa menghantar saya ke bengkel untuk belajar dari bawah hingga ke peringkat pentadbiran perniagaan bas mula membuka ruang kejayaan pada diri saya.

“Dulu memang saya membantah tindakan bapa, tetapi kini baru nampak hikmahnya. Walaupun gagal ke menara gading, kini saya tidak malu lagi untuk berdepan rakan berjawatan tinggi seperti peguam dan arkitek.

“Secara tidak langsung kejayaan ini menjadi azimat kepada anak Melayu bahawa pintu rezeki sangat luas dan yang penting sekali ialah pengorbanan dan kesabaran serta berdoa kepada Allah,” katanya.

Justeru, dengan modal sebanyak RM500,000 hasil wang simpanan dan wang yang diperoleh selepas menggadai tanah dan rumah miliknya, Uzir dengan dibantu abangnya Kaharudin, 44, memulakan syarikat Pancaran Matahari Ekspres Sdn Bhd (Pancaran Matahari Ekspres).

Uzir berkata, nama itu diambil sempena nama kilang kopi milik bapanya yang masih beroperasi di Kedah hingga hari ini.

“Pada 2007 syarikat mendapat permit pertama dari Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi laluan melalui Changlun, Jitra, Alor Star, Shah Alam dan Klang bermula dengan empat bas,” katanya.

Biarpun baru mencecah tiga tahun beroperasi, Pancaran Matahari Ekspres pantas berkembang dan pada hari ini syarikat itu memiliki 20 bas, termasuk empat bas dua tingkat dengan tenaga kerja seramai 20 orang.

Pada 20 Mac lalu, LPKP memberi permit untuk Pancaran Matahari Ekspres meneroka laluan baru iaitu dari Changlun ke Johor Baru, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

“Insya-Allah jika ada rezeki, kami akan menambah sebanyak 10 bas lagi tahun depan bagi melancarkan perjalanan serta menambah laluan supaya semua penumpang di seluruh negeri dapat menikmati perkhidmatan kami,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Mohammad Uzir Salleh

Jawatan : Pengurus Pancaran Matahari Ekspres Sdn Bhd

Lahir : 4 Ogos 1970

Isteri : Jasmin Ahmad

Anak : Farah Syahida (14); Mohd Harris Akmal (13), Mohd Haikal Akmal (8) dan Mohd Hadi Akmal (6)

Pendidikan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Tips Usahawan Kreatif

GPS Pantau Kelajuan Bas
Menerusi slogan ‘Menyinari Perjalanan Anda’, syarikat Pancaran Matahari Ekpres sangat mengambil berat mutu perkhidmatan dan berazam memberi layanan terbaik kepada pelanggannya.

Sesuai dengan slogan itu, Uzir berkata, pihaknya mahu penumpang menikmati layanan terbaik dalam perjalanan sebelum sampai ke destinasi dengan lebih ceria.

Bagi memberi kepuasan dan keselesaan kepada penumpang, pihaknya menggunakan bas berjenama Scania dari Sweden yang mempunyai teknologi tinggi dan ciri-ciri keselamatan terkini.

“Namun kami sedar biarpun bas serba moden, yang lebih penting ialah pemandunya perlu cekap dan berhemah dengan memastikan enjin dalam keadaan baik selain memandu mengikut peraturan jalan raya,” katanya.

Uzir berkata, untuk keselamatan penumpang, pihaknya memantau kelajuan bas yang dipandu dengan menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS) yang boleh dikawal dari ibu pejabat.

Selain itu, katanya, pihaknya mengadakan mesyuarat setiap bulan bagi mendengar masalah pekerjanya serta mengkaji maklum balas daripada penumpang supaya syarikat lebih berdaya saing dalam perkhidmatan itu.

Bagi memudahkan lagi penumpang menempah tiket, pihaknya juga akan menyediakan tempahan tiket secara on-line.

Petikan Metro Ahad

Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd

Kelisa Hias Hidup Ahmad

Menjadi anak yatim ketika berusia dua tahun membuatkan Ahmad Don cepat mengenal erti kehidupan dan belajar berdikari. Bayangkan, pada usia sekecil itu manakala adik bongsunya masih dalam kandungan ibu, bapa tercinta, Don Yusof, kembali ke rahmatullah.

Berikutan itu ibunya, Mah Saud, 76, yang ketika itu berusia 22 tahun terpaksa menggalas tanggungjawab bagi membesarkan beliau tiga beradik dengan menoreh getah.

Naluri mahu keluar daripada kepompong kemiskinan menyebabkan Ahmad terpanggil untuk berniaga. Ketika berusia belasan tahun dan selepas menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau sering
meluangkan masa menangkap ikan hiasan di sungai atau tasik Bukit Merah untuk dijual bagi mendapatkan duit poket.

“Saya datang daripada golongan miskin. Kehidupan masa kecil sungguh susah, menyebabkan saya rasa terpanggil untuk berniaga. Untuk pergi ke sekolah menengah yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari rumah, saya menumpang basikal kawan setiap hari sehingga dapat membeli basikal ketika di tingkatan tiga.

“Disebabkan minat berniaga, sambil menyambung pelajaran ke tingkatan empat dan lima, saya mengisi masa lapang menangkap ikan hiasan untuk dijual kepada peniaga di Pulau Pinang.

“Antaranya kelisa (arowana), lampam, kaloi, toman dan ketutu. Ada juga kelisa yang saya beli daripada kawan dengan harga RM12 dan kemudian saya jual RM15 seekor.

“Waktu itu pun ikan kelisa mempunyai nilai tinggi berbanding ikan hiasan lain. Jika ikan hiasan lain berharga 10 hingga 20 sen seekor, kelisa yang berukuran enam hingga tujuh sentimeter berharga RM12 hingga RM15 seekor,” kata Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd (BMA) itu.

Menurut Ahmad, dia banyak mendapat tunjuk ajar selok-belok perniagaan ikan hiasan daripada peniaga Pulau Pinang yang turut membawanya menghantar ikan hiasan ke Singapura dan Thailand.

“Ahmad, you tak payah bikin cikgu (awak tak payah jadi guru). You berniaga.” Itulah pesanan peniaga berkenaan yang masih diingatinya sehingga hari ini.

Disebabkan galakan peniaga itu Ahmad semakin berminat dalam bidang ikan hiasan dan belajar mengenai perniagaan dan penjagaan ikan hiasan secara tidak formal daripadanya.

Pada usia 20 tahun Ahmad mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jalan Othman, Petaling Jaya.

Selepas tamat pengajian pada 1983 beliau menyambung minatnya terhadap ikan dengan membuka perniagaan ikan hiasan.

“Bermodalkan RM10,000 daripada duit simpanan menjual ikan dan upah membuat sangkar burung, saya membuka perniagaan ikan hiasan dan haiwan peliharaan di Taiping.

“Ketika mahu menjelaskan deposit kedai sebanyak RM1,800 saya melilau mencari di sana sini. Sukar untuk meminjam wang kerana orang tidak percaya perniagaan ini boleh maju.

“Untuk menjimatkan kos, saya turut memohon kepada Mara supaya menurunkan sewa bulanan kedai daripada RM250 kepada RM180 dan usaha itu berjaya,” katanya.

Kegawatan ekonomi pada 1988 dan 1999 memberi impak besar kepada Ahmad yang ketika itu turut mengusahakan syarikat pembinaan.

Beliau kerugian kira-kira RM600,000 dan pengalaman itu menjadi iktibar kepadanya.

Pada 2000 Ahmad menutup syarikat pembinaan itu, diikuti kedai ikan hiasan dan akuarium pada tahun berikutnya kerana mahu menumpukan 100 peratus kepada pembiakan ikan kelisa yang juga ikan hiasan termahal di dunia.

Beliau mengusahakan pembiakan kelisa di kolam di tanah pusaka peninggalan bapanya seluas 0.202 hektar (dua ekar). Secara berperingkat-peringkat, beliau meluaskan perniagaan dengan membeli tanah seluas 197 hektar untuk membina kira-kira 700 kolam.

BMA mengkhusus kepada pembiakan kelisa emas Malaysia iaitu spesies kelisa paling mahal manakala Bukit Merah ialah tempat paling sesuai bagi pembiakan kelisa spesies berkenaan kerana kawasan itu adalah habitat asalnya.

Turut dibiakkan ialah kelisa merah, emas Indonesia, Malaysia high back, hijau dan perak.

Katanya, kira-kira 30 tahun dulu seekor ikan kelisa dijual dengan harga RM12, tetapi sekarang harganya mencecah RM1,800 seekor (bagi anak ikan berukuran tiga hingga empat inci).

“Bezanya dulu saya tangkap ikan kelisa dan jual, tetapi sekarang ikan ini dibiakkan. Walaupun banyak berjaya dibiakkan, ia masih tidak mampu menampung permintaan dari Asia dan Eropah,” katanya.

Harga pasaran bagi jualan anak ikan bersaiz tiga hingga empat inci ialah RM2,500 seekor bagi emas Malaysia, merah cili (RM2,500), super red (RM1,800), high back Golden (RM550), banjar red (RM180), hijau (RM100) dan perak (RM20).

Jualan ikan pra matang iaitu berusia satu hingga dua tahun ialah setinggi RM9,000 seekor bagi emas Malaysia manakala harga terendah ialah kelisa perak berharga antara RM450 hingga RM500 seekor.

Bagi menambah pengetahuan serta mengintai pasaran baru, Ahmad yang sering ke China kerana urusan perniagaan ikan kelisa pernah mengunjungi pameran ikan hiasan di Perancis, Jerman dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Melalui BMA, beliau juga bersedia berkongsi perniagaan dengan individu berminat menerusi sistem pawah.

“Bagi menghasilkan benih atau baka bermutu, ikan berkenaan dipelihara di kolam BMA dan syarikat membekalkan makanan dan penjagaan untuk tempoh lima tahun. Selepas lima tahun, rakan kongsi boleh mengambil semula ikan berkenaan atau terus dipelihara di kolam BMA.

“Kita kena kreatif dalam perniagaan dan sentiasa memikirkan strategi terbaik selain mengatasi masalah kawalan harga. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kelisa masih ada pasaran yang baik. Bukit Merah adalah tempat terbaik bagi membiak kelisa di Malaysia, malah juga di dunia.

“Emas Malaysia yang juga spesies kelisa paling mahal berasal dari sini manakala kelisa hijau dari Kedah. Di Taiwan dan China misalnya, walaupun kelisa mempunyai pasaran bagus, ia tidak sesuai diternak kerana mempunyai cuaca empat musim,” katanya yang juga perintis bagi pembiakan ikan kelisa di Bukit Merah.

Kaya dengan pengalaman memelihara ikan itu sejak remaja, beliau tidak lokek memberi tunjuk ajar atau khidmat nasihat kepada pengusaha lain.

Sejak 2006 jumlah pengusaha kelisa di Bukit Merah semakin bertambah seperti cendawan tumbuh lepas hujan iaitu mencecah kira-kira 30 pengusaha.

Sementara itu lebih 100 peserta menyertai sistem pawah BMA yang mengenakan syarat terikat selama lima tahun bagi memastikan pengeluaran ikan berkenaan konsisten.

“Saya fikir, kalau hendak tunggu hasil atau buat pinjaman bank, tentu perniagaan berjalan dengan perlahan. Disebabkan itu saya usaha cara lain dan inilah (sistem pawah) yang saya amalkan. Cara ini juga dapat membantu ramai rakan kongsi,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Ahmad Don

UMUR: 54 tahun

ASAL: Semanggol, Perak

JAWATAN: Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd

ISTERI: Norsiah Hasan

ANAK: Normazlina (26), Iskandar Zulkarnain (21) dan Iskandar Ar-Rahman (15)

Tips Usahawan Kreatif

Sasar 1000 Kolam Ikan
Lapan tahun menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembiakan baka ikan kelisa berkualiti tinggi, usaha Ahmad ternyata membuahkan hasil. Tidak sia-sia beliau mengutip pengalaman mengenai penjagaan ikan kelisa sejak usia belasan tahun lagi.

Mensasarkan Bukit Merah Aquaculture (BMA) sebagai pengeluar utama bagi ikan kelisa emas Malaysia yang berkualiti tinggi untuk pasaran dunia, Ahmad kini dalam proses menambah jumlah kolam ikan daripada 700 kepada 1,000 kolam.

Menjelang tahun depan, Ahmad mensasarkan pengeluaran 50,000 anak ikan kelisa setahun bagi memenuhi pasaran luar negara.

“Buat masa ini kita cuma mampu menampung peratusan kecil permintaan dari luar negara iaitu dengan pembiakan kira-kira 30,000 anak ikan setahun.

“Pembenihan perlu dilakukan dengan teliti kerana kita tidak mahu anak ikan luka dan cedera. Anak ikan dijaga dengan rapi iaitu dipelihara dalam inkubator sehingga telur kuning yang menjadi makanannya habis, baru ia dilepaskan ke dalam kolam asuhan,” katanya.

Ahmad turut membina kolam ternakan kelisa di Kuala Kangsar. Lokasi baru itu mempunyai 230 kolam dan menjelang tahun depan jumlahnya mencecah lebih 300 kolam bagi membantu belia menerusi sistem pawah.

“Walaupun sebelum ini saya banyak menempuh cabaran dalam pembiakan ikan kelisa seperti ikan mati ketika dialihkan kerana sensitif dengan perubahan air, menjualnya pula begitu mudah kerana ia mempunyai pasaran besar,” katanya yang melihat potensi besar dalam perniagaan itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Ketika bersembang dengan anaknya, Iskandar Zulkarnain, 21, Ahmad sering memberi tips perniagaan dan pendedahan bagi merangsang minat anaknya dalam perniagaan itu.

Iskandar Zulkarnain yang kini menuntut dalam bidang mekatronik di Australia banyak diberi pendedahan, termasuk mengikut beliau ke pameran ikan hiasan di luar negara.

“Anak menunjukkan minat dalam perniagaan ini. Selain Iskandar, anak sulung, Normazlina yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang perakaunan turut berperanan mengendalikan urusan perniagaan.

“Saya memberi gaji kepada anak dan isteri kerana mereka sama-sama menyumbang tenaga membangun dan memajukan syarikat. Pada masa terluang, saya akan meninjau kolam ikan. Isteri dan anak tidak ambil kisah kerana mereka bukan saja memahami tetapi juga menunjukkan minat sama,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi anaknya, Nor Aishah yang juga kembar Normazlina tidak sempat melihat kejayaannya kerana meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan kereta ketika masih menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada 2003.

Menggajikan kira-kira 50 pekerja dengan 80 peratus daripadanya adalah pekerja tempatan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya, perniagaan itu secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Petikan Metro Ahad

Million Board Sdn Bhd

Rezeki Sakit Belakang Hasnizar

Beliau bermula sebagai jurutera projek tetapi membuat perubahan drastik dalam haluan kerjayanya ketika kegawatan ekonomi melanda negara.

Satu demi satu pekerjaan dilakukan, daripada perunding jualan, 'pengusir hantu moden' hinggalah sampai satu tahap hanya mampu mencari rezeki dengan mencuci pinggan di warung selepas 'tersungkur' dalam perniagaan.

Begitupun, bak kata pepatah 'kalah bukan bererti mengalah', keperitan hidup yang pernah dilaluinya itu kini berganti dengan pencapaian membanggakan.

Pada usia 34 tahun, dia tidak lagi bergelar pekerja bawahan, sebaliknya mempunyai perniagaan sendiri dengan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Produk penjagaan tulang belakang jenama Dr Backbone keluaran syarikatnya kini 'harum' dan menjadi sebutan ramai. Puluhan ribu unit produk berkenaan dijual sejak diperkenalkan pada 2006.

Malah produk itu bukan sembarangan kerana keberkesanannya turut mendapat pengiktirafan pakar bedah Ortopedik Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr Mohd Ismail Maulut.

Itulah keistimewaan CEO Million Board Sdn Bhd, Hasnizar Ibrahim yang satu ketika dulu terpaksa mendepani pelbagai liku dan ranjau kehidupan untuk mengecapi nikmat kejayaan.

"Bukan calang-calang kerugian yang pernah saya alami dulu. Saya alami kerugian melebihi RM900,000 sehingga segala harta terpaksa digadai.

"Pendek kata tinggal sehelai sepinggang, sampai hendak ke mana-mana hanya mampu berjalan kaki dan mencari rezeki sebagai pencuci pinggan di warung. Pada masa lapang pula saya mendalami ilmu urutan tradisional," kata Hasnizar ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Sebelum memasuki dunia pekerjaan, Hasnizar menunjukkan ciri-ciri kepemimpinan apabila terpilih sebagai Presiden Persatuan Kejuruteraan Awam ketika melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

Dengan menggabungkan bakat kepemimpinan dan minat dalam bidang perniagaan, beliau membulatkan tekad untuk menjadi ahli perniagaan.

"Tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan awam pada 1998, saya bekerja sebagai jurutera projek tetapi kerana kegawatan ekonomi, saya membuat keputusan drastik mencari ruang untuk menjadi ahli perniagaan.

"Kalau diikutkan, dari kecil memang saya minat berniaga. Sebab itu saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan serta pemasaran dan memulakan kerjaya dalam bidang itu," katanya.

Mengimbas kembali kenangan ketika menceburi bidang pemasaran, beliau ketika itu menjawat jawatan perunding jualan di Linguaphone Institue of London, di mana banyak selok-belok perniagaan dipelajarinya dan pada masa sama berdepan pelbagai cabaran yang hampir melemahkan semangat.

"Bayangkan, setiap hari saya berdepan lebih 20 pelanggan untuk mempromosi produk yang dijual, tetapi tiada seorang pun berminat membeli daripada saya. Ketika itu memang saya jadi lemah semangat... marah pun ada.

"Saya sedar saya masih mempunyai kelemahan untuk diperbaiki. Sebagai seorang Islam, saya memanjatkan doa supaya dimurahkan rezeki.

"Alhamdulillah berkat kesabaran dan rezeki diberi Allah SWT, selepas dua minggu, saya dapat seorang demi seorang pelanggan hinggalah saya berjaya menjadi perunding jualan terbaik," katanya.

Setahun menjadi perunding jualan, Hasnizar terus cemerlang apabila dipilih menjadi pengarah pemasaran untuk sebuah syarikat pembuatan air minuman Bumiputera pada 1999 berjenama MANJA.

Di syarikat itu beliau berjaya mendapatkan kontrak tempahan air sebanyak dua juta tin setiap bulan, sekali gus menjadikan masa depannya semakin cerah.

Menyedari mempunyai keupayaan untuk berniaga sendiri, Hasnizar meninggalkan syarikat itu dan menjadi rakan kongsi untuk satu perniagaan berasaskan produk capal.

Hanya dalam tempoh lapan bulan, bibit-bibit kegagalan membelenggunya dan dia keluar mencuba perniagaan baru iaitu sejenis cendawan antikanser, tetapi masih belum mencapai kejayaan membanggakan.

Hasnizar mengakui ketika itu dia belum matang dalam dunia perniagaan.

"Maklumlah, ketika itu saya masih muda. Ilmu perniagaan pula belum cukup, menyebabkan saya hanya mampu bertahan dalam tempoh singkat. Saya juga jenis yang jujur dan pernah disindir 'budak hingusan' dalam perniagaan," katanya.

Sejak itu Hasnizar bagai hilang arah dan tujuan. Dia bekerja mencuci pinggan di sebuah warung dengan gaji RM15 sehari dan mendalami ilmu urutan tradisional pada waktu lapang.

Tiga bulan selepas itu Hasnizar beralih arah apabila memilih kerjaya sebagai 'pengusir hantu moden' dengan menggunakan kaedah teknologi sains dan tradisional.

"Memang melucukan, tetapi realitinya itu yang saya lakukan. Setiap hari mencari hantu dan mengenakan yuran untuk setiap perkhidmatan diberi. Ada pelanggan, tetapi saya fikir sampai bila saya nak buat kerja itu," katanya.

Pada 2006 Hasnizar memberanikan diri bertatih kembali dalam dunia perniagaan. Bermodalkan wang sebanyak RM3,000 yang dipinjam daripada sepupunya, dia memulakan perniagaan produk penjagaan tulang belakang.

Hasnizar berkata, ilham untuk menjalankan perniagaan itu tercetus hasil daripada apa yang berlaku kepada dirinya.

"Dari zaman kanak-kanak, rakan sebaya memang mengenalinya dengan bentuk badan yang membongkok. Semua itu ada kaitan dengan tulang belakang.

"Apabila ke surau ke masjid untuk menjalani ibadat dan mendengar ceramah, saya selalu berasa sakit belakang akibat duduk terlalu lama. Sejak itu saya banyak membaca buku dan mengkaji di Internet mengenai hal tulang belakang dan tercetuslah ilham untuk menjual produk berkaitan penjagaan tulang belakang," katanya.

Begitupun, laluan untuk Hasnizar memasarkan produk itu tidak semudah disangka kerana dia perlu bertungkus lumus mendapatkan pelanggan.

"Pengunjung pasar malam tempat saya berniaga tidak menunjukkan minat terhadap produk saya apabila diberitahu ia keluaran tempatan.

"Begitupun saya tidak putus asa dan terus berusaha meyakinkan pengunjung sehingga dapat menjualnya kepada beberapa pelanggan," katanya.

Menurut Hanizar, dia mula menjual produk itu tanpa jenama di pasar malam Uptown Danau Kota dan Seri Gombak, tetapi sambutannya hambar sehingga beliau mendapat khidmat nasihat daripada Dr Mohd Ismail Maulut, doktor pakar bedah ortopedik yang banyak memberi cadangan dan pendapat supaya produk itu mencapai standard antarabangsa.

Hasnizar berkata, dia terus berusaha membangunkan perniagaannya dengan menggunakan jenama 'Dr Backbone' dan mempromosi produk itu di pelbagai tempat, termasuk stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan dan pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.

"Waktu tidur saya ketika itu hanya dua atau tiga jam. Begitupun, Alhamdulillah usaha berterusan yang dilakukan itu melonjakkan jualan produk berkenaan.

"Hasilnya saya mampu beroperasi di pejabat sendiri, mempunyai kakitangan sendiri, ada kilang yang mengkhusus kepada pembuatan produk dan pengedar juga semakin bertambah," katanya.

Menurut Hasnizar, syarikatnya menjalankan usaha penyelidikan dan pembangunan yang berterusan bagi terus meningkatkan mutu produk.

"Doa ayah dan ibu serta kedua-dua mentua menjadikan saya mampu ada di tahap seperti hari ini. Bagaimanapun, perjalanan untuk saya melakar kegemilangan dalam dunia perniagaan masih panjang.

"Saya turut berterima kasih kepada Dr Mohd Ismail Maulut, bapa angkat Syed Hussein Al-Attas dan Datuk Dr Fadzilah Kamsah yang selama ini banyak memberi sokongan. Paling utama isteri yang sentiasa memberi semangat," katanya.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Hasnizar Ibrahim

UMUR: 34 tahun

ASAL: Kampung Jerjak, Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Awam (1998), Diploma Pemasaran Universiti Malaya (2003)

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Million Board Sdn Bhd

ISTERI: Nur Hafiza Zakaria


Tips Usahawan Kreatif 

Hasil Produk Minuman Kalsium
Million Board Sdn Bhd merancang memberi keutamaan kepada siswazah muda yang menganggur dan ibu tunggal menceburi dunia perniagaan.

Hasnizar berkata, golongan terbabit dipelawa menjadi pengedar produk Dr Backbone yang diyakini mampu memberi keuntungan tinggi.

"Kita tawarkan modal rendah untuk mereka tetapi pulangannya lumayan. Ini kita lakukan sebagai satu tanggungjawab untuk membantu golongan terbabit menjana pendapatan menerusi bidang perniagaan.

"Bukan saja perniagaan, tetapi pada masa sama kita membantu daripada segi memberi kesedaran mengenai kepentingan penjagaan tulang belakang," katanya.

Menurut Hasnizar, syarikatnya turut mempelawa mana-mana organisasi bekerjasama dengan syarikatnya sejajar dengan usaha untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

"Pada masa sama, dari semasa ke semasa kita akan mengadakan lebih banyak lagi seminar dengan kerjasama pakar bagi memperkenalkan produk dan membuktikan kelebihannya.

"Kita juga akan mempergiatkan usaha mempromosi peluang perniagaan untuk produk berkenaan," katanya.

Menurut Hasnizar, jenama Dr Backbone akan diperluaskan, bukan hanya semata-mata kepada produk penjagaan tulang belakang.

"Pada awal 2010, kita merancang mengeluarkan produk minuman kalsium dengan pelbagai perisa yang mampu memenuhi selera semua jantina, peringkat umur dan kaum.

"Jika diikutkan banyak lagi perancangan kita, tetapi kita akan lakukannya secara berperingkat demi memastikan apa yang dihasilkan berkualiti dan berkesan," katanya.

Produk Dr Backbone kini boleh dimiliki dengan pilihan tujuh warna bingkai daripada kulit bagi memenuhi cita rasa pelanggan.

Ia mempunyai ketahanan dan jaring teknologi tinggi yang mampu menampung bebanan pengguna seberat 198 kilogram.

Produk yang mendapat pengiktirafan paten reka bentuk industri harta intelek pada April lalu itu dijamin tahan sekurang-kurangnya dua tahun serta berkualiti. Maklumat lanjut mengenai Dr Backbone boleh diperoleh di www.drbackbone.com.
 
Petikan Metro Ahad

Sani United Sdn Bhd

Rakan Karib Inspirasi Sani

Pada usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.

Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.

“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah
SWT,” kata anak muda itu.

Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.

Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.

Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.

Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.

Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah... dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.

“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.

Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.

“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.

“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.

Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.

Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.

“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.

“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.

Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.

“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.

Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.

“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.

“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.

Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.

Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.

“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.

Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.

Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.

Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.

Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.

Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.

Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.

Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.

Profil Usahawan Kreatif

Nama : Datuk Wan Mohammad Sani Salleh

Usia : 33 tahun

Lahir : 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu

Adik Beradik: Keempat daripada enam beradik

Pendidikan : Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)

Jawatan : Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).

Pencapaian : Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)


Tips Usahawan Kreatif
SANI Express mensasarkan untuk memiliki 100 bas dan meneroka semua laluan di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Sani, sebanyak RM100 juta akan dilabur untuk tujuan itu dan beliau mensasar untuk memiliki 500 kakitangan dalam tempoh berkenaan.

“Ketika ini Sani Express menggunakan sepenuhnya 25 bas dua tingkat dan untuk tempoh tiga tahun saya mensasar untuk memiliki 100 bas dengan meneroka semua laluan di negara ini.

“Saya optimis dengan sasaran itu bersandarkan pencapaian Sani Express ketika ini. Malah sehingga hari ini pelaburan yang dibuat untuk pelbagai keperluan, antaranya membeli bas baru dan bangunan Wisma Dato’ Sani, mencecah RM50 juta,” katanya.

Sani berkata, wisma berkenaan bukan sekadar menjadi pusat pentadbiran syarikat, tetapi pertemuan kakitangan pelbagai peringkat.

“Saya memilih lokasi wisma itu yang terletak di Klang Sentral kerana ia perhentian terakhir untuk bas Sani Express. Di situ saya berpeluang bertemu semua kakitangan dan membantu saya mengetahui dan menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul,” katanya.

Wisma yang turut dilengkapi pusat latihan itu membantu Sani United Sdn Bhd memiliki kakitangan yang dapat melaksanakan tugas dengan efisien.

“Saya turut mengutamakan latihan kepada pemandu bas supaya semua pemandu bas Sani Express membabitkan pemandu berhemah. Pemandu bas sangat penting kerana mereka membawa ‘nyawa’.

“Ia juga sebagai satu keyakinan kepada pelanggan bahawa Sani Express bukan saja mengutamakan keselesaan tetapi juga sangat mengutamakan keselamatan pelanggannya,” katanya.

Petikan Metro Ahad