Search This Blog

Sunday, October 12, 2014

Budak kampung berjiwa besar

Sekali lagi, keperitan yang di alami oleh seseorang pada peringkat awal tidak menjadi penghalang kejayaan seseorang di masa hadapan. Berkat mengenali potensi yang dimiliki serta bekerja keras, sesiapa pun mampu mencapai kejayaan. Kali ini kita ikuti kisah seorang pengarah urusan sebuah syarikat motivasi korporat & usahawan yang juga berasal dari kampung yang sama dengan saya, Teluk Intan! ;)

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Pernah mengikat perut bagi menamatkan pengajian dalam bidang perundangan, Pathman Senathirajah kini merupakan seorang Pengarah Urusan yang berjaya.



PATHMAN kerap menemui peserta dari Asia Tengah dan Timur Tengah untuk berkongsi tip sukses dan modul profesional yang menyuntik keyakinan serta motivasi dalam bengkel dan seminar yang dikendalikannya.

SETELAH menyaksikan filem Dead Poets Society (1989), Pathman Senathirajah, 33, terus teringatkan guru bahasa Inggeris, Syril Teoh. Kata-kata hikmat guru itu terus diingati dan sampai saat ini, butiran kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga Pathman yang kini seorang Pengarah Urusan di V Global International Worldwide.


Sebagai seorang Pengarah Urusan yang termuda dalam Kumpulan Syarikat Qi, Pathman, berkata: "Cikgu Syril mengingatkan kami bahawa tiada siapa di dunia ini ditakdirkan hidup miskin, sekalipun lahir dalam keluarga yang tidak berkemampuan."


Namun ketika di bangku sekolah, ungkapan yang menerjah telinganya itu tidak memberi apa-apa makna kepada dirinya memandangkan nasib keluarganya tidak menentu selepas ayah tercinta meninggal dunia akibat serangan jantung. Ibunya pula terpaksa menyara keluarga dengan gaji kecil sebagai guru.


"Sewaktu bapa meninggal dunia, umur saya sekitar tiga tahun dan dua orang abang saya masih bersekolah. Biarpun menghadapi banyak kekurangan termasuk dari segi kewangan, ibu tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga termasuk mencurahkan sepenuh kasih sayang," ujar Pathman yang mempunyai abang bernama Kuna dan Sathi.


Lahir dan menghabiskan hampir separuh hidupnya di utara Malaysia, anak watan negeri Perak dari Teluk Intan ini bagaikan merindui kampung halaman yang mendidik dirinya agar menghargai erti hubungan kekeluargaan, persahabatan, semangat kejiranan dan ajaran moral yang tinggi nilainya.


"Dari kecil, kami diajar supaya menghargai setiap sen dan ringgit yang diperoleh dalam apa jua keadaan. Ibu melatih kami agar bersifat murah hati kepada mereka yang memerlukan," jelas Pathman.


Tanpa menghiraukan hala tuju masa depannya, kehidupan harian berlalu dengan aktiviti-aktiviti menyeronokkan seperti menunggang basikal, bermain bola sepak dan hoki, menangkap ikan hinggalah belajar memandu kereta. Kealpaan itu berterusan sehingga beliau berada di tingkatan enam. Saat itu, terdetik persoalan di dalam hatinya tentang apa yang ingin dilakukan di dalam hidupnya?. "Daripada belajar di tingkatan enam, saya meluahkan hasrat berhenti sekolah kepada ibu."


"Memandangkan saya pandai bercakap, pak cik saya mengesyorkan saya supaya belajar ilmu perundangan," ujar Pathman lagi ketika ditemui di sebuah rumah khas yang disediakan untuknya di Cyberview Lodge Resort, Cyberjaya.


Tanpa berfikir panjang, budak kampung ini membawa diri ke kota besar Kuala Lumpur pada lewat tahun 1980-an. Beliau mendaftar mengikuti kursus A-level di Kolej Brickfields dan pada masa yang sama, bekerja secara sambilan.


Tanpa berahsia, Pathman mengaku pernah bekerja sebagai pelayan restoran, pengawal

keselamatan, pemandu dan menjadi orang tengah dalam urusan perniagaan kecil-kecilan. Disebabkan kesempitan wang, kerap kali beliau memakan 'roti canai banjir' yang berharga kurang RM1 sekeping.


Melihat kesusahan hidup yang dihadapi sejak dahulu hingga sekarang, Pathman akur bahawa hanya wang yang dapat membantu dan menyelesaikan masalahnya. Bagi meringankan beban kewangan, Pathman bertungkus-lumus belajar sehingga dinobatkan sebagai pelajar terbaik sekali gus layak menerima biasiswa.


Pada tahun 1996, cita-cita mendapat ijazah perundangan dari Universiti London termakbul. Bagaimanapun, Pathman enggan menduduki peperiksaan CLP (Certificate of Legal Practice) kerana kecewa dengan bayaran gaji yang kecil berbanding dengan waktu kerja. Pada saat itu, beliau mengimbau kembali kata-kata cikgu Syril. "Mengapa tidak saya bermimpikan kekayaan dan sukses?"


Pathman membayangkan profil kejayaan yang dikecapi oleh jutawan seperti mendiang Tan Sri Eric Chia Eng Hock, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Lim Goh Tong yang berjaya tanpa pendidikan tinggi.


Tanpa melengahkan masa dan menunggu peluang keemasan datang bergolek, Pathman meneroka pasaran yang ada. Pencariannya terhenti sebaik Kuna memperkenalkan perniagaan membina rangkaian klien melalui platform E-Commerce.


Katanya, bidang ini tidak meletakkan sebarang syarat atau kriteria untuk penyertaan dan yang paling penting, ia membuka ruang untuk membantu orang lain. Ini adalah salah satu amalan yang disemaikan oleh ibu tercinta sejak dahulu, Pathmavathi Kandiah, 74.


Dengan kemahiran pembangunan, pengurusan, pemasaran dan melatih kakitangan melalui satu platform tanpa sempadan, Pathman mula mendaki tangga kejayaan di bawah tunjuk ajar mentor, Datuk Vijay Eswaran. Umpama berhadapan dengan perlawanan sengit di medan perang, beliau bukan sahaja mengubah pandangan orang di sekeliling tetapi dirinya sendiri.


V Global International Worldwide yang ditubuhkan pada 1998 dibangunkan dan diperluaskan ke serata dunia dengan menjunjung prinsip Your Success, Our Passion. Dari Asia hingga ke Barat, Pathman giat merantau berjumpa dengan mereka yang beraspirasi menjadi usahawan, ahli korporat dan para pemimpin yang berjaya.


Sejak beberapa tahun lalu, Pathman juga mendekati golongan kanak-kanak dengan latihan pembangunan khas. Merentasi global, budaya dan bahasa, jadual ceramahnya sentiasa padat dengan pengembaraan berturut-turut selama lapan bulan dalam setahun.


Setelah melebarkan sayap ke negara India, Kanada dan Filipina, Pathman hari ini mempunyai hampir 90 orang kakitangan di bawahnya. Baru dua tahun menyandang jawatan Pengarah Urusan, Pathman sudah menyenaraikan misi untuk meletakkan syarikatnya di tahap tertinggi agar dijadikan aras rujukan kepada syarikat lain.


"Konsepnya sama seperti Microsoft yang tersohor dalam bidang teknologi maklumat," ujarnya yang berpuas hati kerana berjaya menceburi sebuah industri bernilai AS$100 bilion (RM352 bilion) di peringkat global.


Di Cyberview Lodge Resort, beliau menemui para peserta dari Asia Tengah dan Timur Tengah untuk berkongsi tip sukses dan modul profesional yang menyuntik keyakinan serta motivasi yang diperlukan. Seterusnya pada bulan November ini, Pathman akan terbang ke Uganda.


Dengan pendapatan yang berlipat ganda dan pengaruh yang kuat, Pathman tetap tampil sederhana. Mengenakan kemeja-t putih berjalur dan seluar putih yang kemas, Pathman berbual secara bersahaja sepanjang sesi temu bual ini.


Masih bujang dan menantikan pasangan hidup yang mampu memahami kerjayanya, Pathman menggambarkan dirinya sebagai seorang yang vokal, spontan dan sukar diramal. Di samping mendapat sokongan padu daripada darah dagingnya, 'keluarga besar' di pejabat turut menyokong beliau merentasi segala dugaan yang menanti.


Terbaru, Pathman bercadang untuk menulis buku dan menerbitkan filem cereka bertajuk Teluk Intan.


"Di bawah V Studio, satu lagi impian kami akan direalisasikan. Perjalanannya masih jauh tetapi sudah bergerak," ungkapnya.



Berapa banyak wang yang anda boleh perolehi sekiranya anda ketahui rahsia kelapan-lapan jutawan ini?
+Dato’ Dr Fadzilah Kamsah, mentor kepada mentor!
+Azizi Ali, Jurulatih jutawan
+Chef Li (Dato' Dr Rusly), Jutawan Senyap
+Dato’ Dr Azman Ching (Jutawan MLM)
+Billi Lim, Jutawan Berani Gagal
+Dato’ Hussamuddin, Pengasas Karangkraf
+Abang Abu, Usahawan/Motivator/Jutawan
+Irfan Khairi, Jutawan Internet

0 comments:

Post a Comment