“DI MANA ada usaha, di situ ada kejayaan.” Perumpamaan itu tepat menggambarkan kegigihan Mohd Ghani Hitam, 49, merintis masa depan lebih cerah untuk diri dan keluarga.
Jika orang lain mungkin berhenti sekerat jalan, namun semangat Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat MGH Synergy Sdn Bhd itu untuk menyelesaikan pengajiannya tidak pernah pudar.
Beliau mengambil masa tujuh tahun untuk meraih Diploma Pentadbiran Awam menerusi program jarak jauh Institut Teknologi Mara (ITM – kini UiTM). Untuk menambah pendapatan keluarga, Ghani menjual pelbagai hasil pertanian dan makanan di pasar malam.
“Apa saja yang boleh menampung keluarga, saya lakukan asalkan jadi duit, halal dan tidak menganiaya orang lain. Saya ketepikan rasa malu, letih dan jemu demi memastikan kehidupan keluarga terjamin,” katanya.
Dia kemudian berhenti kerja untuk menyambung pengajian sepenuh masa selama empat tahun di peringkat ijazah dalam jurusan perakaunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam tempoh itu bermacam pengalaman dilalui. Tanpa pekerjaan selepas bergelar penuntut sepenuh masa, kehidupannya sekeluarga agak sukar.
“Tahun pertama menuntut di UKM, saya tinggalkan isteri dan anak di Kuala Terengganu. Saya menaiki apa saja kenderaan yang sanggup menumpangkan saya untuk pulang, termasuk lori surat khabar,” katanya.
Letih berulang alik dari Bangi ke Kuala Terengganu, dia mengambil keputusan membawa anak dan isteri tinggal bersama dengan menyewa di perumahan kos rendah di Sungai Merab Luar, Kajang.
“Isteri yang sebelum ini tidak bekerja, mengambil alih tugas menyara keluarga dengan bekerja sebagai operator kantin kilang. Daripada tidak tahu menunggang motosikal dan memandu kereta, dia mengambil lesen dan menghantar saya ke kolej sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Berkat ketekunan dan kesabaran, kehidupan kami mula berubah,” katanya.
Ghani orang yang bertanggungjawab menentukan hala tuju dan daya maju syarikat mengikut bidang dan perniagaan teras masing-masing. Antara perniagaan teras syarikat bernaung di bawah MGH Synergy adalah sebagai kontraktor dalam bidang sivil dan elektrikal, pembangunan perisian dan teknologi kreatif, bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), makanan dan minuman serta minyak dan gas.
Menjadi kebanggaan syarikat apabila mempunyai sekumpulan tenaga kerja muda yang dedikasi dan kreatif sebagai pengarah urusan beberapa syarikat di bawah MGH Synergy.
Anak sulung, Afif, 26, dan anak kedua, Akram, 24, masing-masing Pengarah Urusan Dynamic 3D Sdn Bhd (D3D Group) dan Ara Kiana Sdn Bhd, yang membangunkan sistem perisian membantu proses penandaan dan pemarkahan lukisan CAD (Computer Added Design) serta memajukan beberapa perisian meningkatkan sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan dan agensinya.
“Saya sering berpesan kepada anak dan semua pekerja supaya sentiasa menyiapkan diri dengan segala keperluan, termasuk ilmu pengetahuan. Mereka perlu sentiasa peka dan kreatif dengan arus perubahan dan kehendak pasaran supaya sentiasa berdaya saing di dalam dunia perniagaan,” katanya.
Sesuatu yang boleh dibanggakan adalah kemampuan syarikat Dynamic 3D Sdn Bhd diterajui Mohd Afif membangunkan perisian CADMARK untuk keperluan semasa.
Sistem perisian itu membantu proses penandaan dan pemarkahan lukisan CAD, iaitu yang pertama di pasaran domestik juga Asia. Afif turut bertanggungjawab memajukan beberapa perisian lain untuk meningkatkan sistem penyampaian serta perkhidmatan kerajaan dan agensinya.
“Sebelum ini tidak ada perisian yang membantu pensyarah menanda kertas peperiksaan. Sistem penandaan kertas peperiksaan ini bakal digunakan secara meluas di Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian
Sumber Manusia melalui universiti berteraskan teknikal, kolej kejuruteraan dan institut latihan perindustrian,” katanya yang turut memantau kumpulan jurutera perisian membangunkan sistem itu sejak tiga tahun lalu
.
Atas dorongan dan bimbingan yang tidak putus-putus, Mohd Akram menerajui syarikat terbabit dalam bidang perniagaan teknologi komunikasi maklumat.
Ara Kiana Sdn Bhd berhasrat muncul sebagai syarikat peneraju dalam perniagaan ICT di Malaysia satu masa nanti.
“Saya yakin, dengan semangat dan dedikasi anak muda yang ada dalam Ara Kiana, cita-cita murni ini boleh dicapai,” katanya.
Selepas meraih ijazah sarjana muda, bapa tujuh anak lelaki itu kemudian menyambung pengajian ke peringkat sarjana selama tiga tahun, memberinya sedikit kelebihan untuk berkhidmat di beberapa syarikat, termasuk syarikat automotif, pembinaan kapal hinggalah kepada syarikat yang terbabit dalam bidang pengerukan dan penambakan (dredging & reclaimation) dan kejuruteraan marin.
Melalui tempoh kegawatan ekonomi pada sekitar 1997 memberikan Ghani pengalaman berguna yang tidak dipelajarinya ketika menuntut di universiti.
Satu pengajaran penting yang diingat hingga kini adalah beberapa sektor yang sangat rapuh dan terheret dengan cepat apabila berlaku kegawatan.
Ghani mula menyiapkan diri, menimba sebanyak mungkin ilmu dan memberi sepenuh sokongan kepada isteri tercinta untuk mengembangkan perniagaan yang berasaskan makanan dan minuman. Bidang ini kurang terjejas dan tidak memberi kesan teruk apabila ekonomi tidak memberangsangkan.
“Perniagaan menjual makanan dan minuman ini sebati dengan jiwa isteri saya kerana kebetulan hobinya memasak untuk tujuh anak lelaki kami,” katanya.
Mengimbau masa lalu, Ghani berkata, beliau sentiasa optimis memandang masa depan walaupun kadangkala terpaksa berdepan dugaan dan cabaran.
Daripada bergelar kakitangan kerajaan, kemudian berhenti kerja untuk menyambung pelajaran sambil bekerja sambilan menampung kehidupan keluarga. Pengalaman itu banyak mencorak kehidupan beliau supaya menjadi lebih tabah dalam menempuh kehidupan mendatang.
“Dua cabaran masa lalu adalah membina kehidupan dan juga mendidik anak. Keadaan ketika itu sungguh kritikal dan mencabar. Isteri banyak memainkan peranan mendidik anak kerana saya sibuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya bernasib baik kerana walaupun tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada mereka kerana tuntutan belajar, Alhamdulillah anak saya berjaya,” katanya.
Satu prinsip yang dipegang beliau sampai sekarang adalah, jika melakukan sesuatu perkara, ia perlu dilakukan bersungguh-sungguh.
“Dalam hidup ini, sebenarnya semua orang mempunyai peluang sama untuk berjaya. Tiada halangan sebenarnya jika setiap orang diberi peluang untuk berusaha hingga berjaya. Walaupun kita bekerja dengan orang, anggaplah itu sebagai kerja kita sendiri yang perlu kita laksanakan sebaik mungkin,” katanya.
0 comments:
Post a Comment