Search This Blog

Sunday, October 12, 2014

Kaprima Livestock Sdn Bhd

Jasmin Usahawan Kreatif, Inovatif

Tempoh lima tahun mungkin singkat bagi sesetengah usahawan untuk membina nama, namun bagi Pengarah Urusan Kaprima Livestock Sdn Bhd, Jasmin Jasin, 50, masa sesingkat itu cukup bagi menobatkan dirinya antara Bumiputera yang ada kelas tersendiri.

Jasmin bukan saja layak digelar usahawan ternakan kambing berjaya, malah seorang yang kreatif dan inovatif dengan perniagaan yang kini menjadi contoh dan ikutan usahawan lain.

Beliau bukan hanya menternak kambing dengan jumlah pernah mencecah sehingga 1,500 ekor, tetapi turut menjalankan pelbagai aktiviti lain seperti tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, kolam ikan, chalet,
penternakan cacing dan restoran Kaprioti Countryside yang menyajikan hidangan daging kambing segar.

Syarikatnya turut menjalankan kursus dan latihan kepada usahawan yang berminat menceburi bidang berkenaan, selain memproses baja daripada tahi kambing dengan nama Kaprima Bio.

Hasil usahanya membangunkan pelbagai cabang perniagaan itu, dalam tempoh empat tahun, Jasmin diiktiraf melalui penerimaan tiga anugerah, termasuk yang tertinggi Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan dua tahun lalu.

Pasti terdetik di fikiran, bagaimana dalam tempoh singkat beliau boleh menjalankan pelbagai aktiviti, apatah lagi pada masa sama kerap menjelajah seluruh negara mengembangkan perniagaan, termasuk memberi ceramah.

Melayari kehidupan anak kelahiran Taiping, Perak itu, memang beliau seorang yang aktif atau dalam erti kata lain tidak boleh duduk diam. Antaranya, hasrat menemui bapa tujuh cahaya mata itu bagi mengisi ruangan ini beberapa kali tertangguh kerana kesibukannya.

Selain itu, yang menarik mengenai Jasmin, beliau antara pelopor kepada kelahiran baka kacukan kambing yang diberi nama Kaprima atau Kambing Prime Malaysia hasil kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH).

Kaprima adalah campuran baka Boer dan Jamnapari yang dikacukkan dengan kambing tempatan yang ‘lahir’ pada 2002. Ia boleh disembelih pada usia enam bulan.

Di samping itu, syarikat Jasmin menjadi perintis dalam menjalankan projek ternakan kambing Kaprima secara komersial. Malah, sistem Kaprima yang diperkenalkan pada 2000 menjadi model yang kini dipraktikkan di seluruh negara.

“Melalui sistem Kaprima, kambing diternak secara feedlot atau dikurung dalam kandang dengan memberi makan dedak dan rumput. Ia dilepaskan satu atau dua jam sehari. Sehingga kini lebih 1,500 orang mengikuti kursus di Kaprima, sekali gus mempraktikkan sistem ini di tempat masing-masing,” katanya.

Jasmin berkata, idea mengacukkan kambing tempatan dengan import itu timbul pada 1999 apabila melihat banyak kambing tempatan terbiar begitu saja, selain saiz fizikal yang kecil.

“Waktu itu industri kambing sedikit malap tetapi potensinya besar kerana semua bangsa memakan daging kambing. Melihat potensi yang ada, saya bekerjasama dengan JPH menjalankan kajian sehingga Kaprima dihasilkan,” katanya.

Menurutnya, Kaprima dengan berat antara 30 ke 50 kilogram mempunyai daging rendah lemak dan kolestrol, kaya vitamin B12, lembut, enak serta tidak berbau.

Kini baka Kaprima menjadi pilihan kerana ia menawarkan daging muda yang mengandungi peratus protein tinggi dan boleh disembelih pada usia enam bulan berbanding 12 bulan sebelum ini.

Nampak seperti mudah, namun kata Jasmin, cabaran untuk ada pada tahap hari ini sangat berliku.

“Bukan mudah untuk kendalikan kambing, apatah lagi mahu menukar daripada sistem lepas bebas kepada berkurung kerana ia mengambil masa. Saya juga pernah menghadapi cabaran serangan penyakit, kematian dan kakitangan bertukar, sekali gus menimbulkan masalah serta kos yang semakin meningkat,” katanya.

Antara dugaan dilaluinya ialah kematian hampir 110 ekor kambing daripada 450 ekor Jamnapari yang diimport dari Indonesia, selain jangkitan penyakit dan kematian dua hingga tiga ekor setiap hari.

Namun kerana minat selain berbekalkan pengalaman puluhan tahun sebagai Pembantu Veterinar Kanan di JPH, Jasmin berjaya menghadapi setiap masalah.

Sepanjang 21 tahun di JPH beliau terbabit dalam pelbagai bidang, antaranya tenusu, latihan dan penternakan lembu pedaging dalam kelapa sawit. Meskipun ia dilihat memberi kelebihan kepada Jasmin, namun seperti orang lain, beliau yang bersara pilihan pada Januari 2000 belajar dari bawah dan mengikuti kursus.

Menurut Jasmin, dia tidak pernah terfikir satu hari nanti menjadi usahawan, namun minat berniaga ada dalam diri sejak kecil.

“Saya dilahirkan dalam keluarga susah, emak dan ayah pesawah padi, selain ada membela 20 ekor kambing. Di rumah, kami dengan jumlah adik-beradik 12 orang hanya bertemankan pelita minyak tanah dan mandi air perigi.

“Hendak ke sekolah, saya kayuh basikal sejauh 14 kilometer pergi. Pada masa lapang, saya berniaga jual buah di pasar malam, selain membantu ayah mengembala kambing,” katanya.

Minat berniaga diteruskan apabila dia menyertai JPH pada 1979. Sepanjang tempoh itu, Jasmin pernah bercuti tanpa gaji selama tiga bulan dan setahun untuk menjalankan perniagaan penjualan produk IKS (industri kecil dan sederhana) serta menternak lembu dalam ladang kelapa sawit.

Pada akhir 1990-an, Jasmin mendapat idea untuk membuat R&D (penyelidikan dan pembangunan) dalam industri ternakan kambing sebelum mengambil keputusan bersara pilihan pada 1 Januari 2000.

Kini nama Kaprima semakin dikenali di seluruh negara, malah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tahun lalu menjadikan Kaprima sebagai perintis kepada pusat pengumpulan Boer terbesar di negara ini dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab daging halal di rantau ini.


Profil Usahawan Kreatif

Nama : Jasmin Jasin

Usia : 50 tahun

Lahir : 31 Mei 1958 di Taiping, Perak

Jawatan : Pengarah Urusan Kaprima LiveStock Sdn Bhd

Isteri : Sapiah Samad

Anak : Suzana (26); Siti Hawa (25); Suzilawati (24); Nurakmar (22); Nurul Ashikin (17); Nurul Huda (16) dan Muhammad Hafiz Al Hakim (5)

Pendidikan : Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Dew, Simpang Emapat, Semanggol Perak; Sekolah King Edward VII, Taiping, Perak dan Institut Veteriner, Kluang, Johor

Anugerah : Anugerah Peladang Jaya Negeri Melaka 2005/2006; Anugerah Usahawan Jaya Peladang Mara 2006 dan Anugerah Peladang jaya Kebangsaan (Kategori Lelaki) 2006


Tips Usahawan Kreatif

Sistem Integrasi Tanaman Jana Pendapatan Tambahan
“Mereka yang hendak menceburi bidang ini (ternakan) mesti ada perasaan kasih dan sayang pada haiwan ternakan. Seperti manusia, kambing perlu dibelai dan dimanjakan, selalu bercakap serta bertanya khabar.

“Jika tiada sifat berjiwa ternakan atau fikir mahu buat duit saja, lupakan kerana ia mengundang pelbagai kerumitan kemudian hari,” kata Jasmin ketika ditanya rahsia untuk menceburi industri penternakan.

Menurutnya, menjaga kambing bukan seperti menjaga manusia yang boleh berkata-kata kerana haiwan berkenaan hanya bertindak melalui gerak-geri fizikal.

“Jika kita selalu pukul kambing ini, apabila kita datang atau dekat, kambing itu akan lari dan kerana itu kita perlu mengenali sifat haiwan ini sebelum menternak,” katanya

Jasmin berkata, menternak kambing memerlukan ilmu, apatah lagi bila timbul masalah seperti penyakit dan kematian.

“Kematian kambing tidak dapat dielakkan, malah saya pernah menghadapi keadaan itu apabila dua hingga tiga ekor mati sehari. Jadi sebelum ia berlaku, kita sebagai penternak perlu tahu sebab atau punca dan menangani masalah yang wujud.

“Biasanya kambing di negara ini mengalami masalah seperti najis cair, demam dan sejuk paru-paru. Apabila berpenyakit, ia perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti JPH supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya.

Jasmin turut menyarankan kepada penternak atau mereka yang hendak berjinak dalam industri ini supaya menjalankan sistem integrasi tanaman daripada hanya menjalankan satu bisnes saja iaitu menternak kambing.

Katanya, melalui cara itu penternak tidak bergantung kepada satu sumber untuk memperoleh pendapatan, sebaliknya mampu menjana pendapatan tambahan melalui penggunaan tanah secara maksimum selain mengurangkan kos.

“Jika kita hanya menternak kambing, untuk menunggu pulangannya ia memakan masa sehingga dua tahun. Dalam tempoh itu kita memerlukan modal untuk operasi harian seperti makanan, ubat-ubatan, penjagaan dan sebagainya.

“Melalui sistem integrasi tanaman ini, tanah yang tidak digunakan kita boleh usahakan tanaman yang ada hubung kait dengan kambing seperti jagung, yang mana batang dan daunnya boleh dimakan kambing.

“Atau kita boleh usahakan dengan tanaman berdaun hijau lain yang sesuai untuk kambing. Selain boleh dijadikan makanan, tanaman ini boleh dijual dan ia memberi pendapatan tambahan kepada penternak,” katanya.

Sistem itu dipraktikkan di kawasan miliknya seluas 5.2 hektar apabila 1.2 hektar digunakan untuk penternakan kambing dan bakinya sebagai kawasan pertanian dan perikanan.

Jika ke ladangnya di Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka, pelbagai projek dijalankan di sini. Selain penternakan kambing, ada juga diusahakan penternakan cacing, lembu, itik, tanaman betik, pisang, buah naga, jambu air, itik, kolam ikan keli dan talapia serta chalet yang dibina khas untuk pengunjung menginap, sekali gus menikmati suasana aman dan tenteram.

Petikan Metro Ahad

0 comments:

Post a Comment