Air Asia ditubuhkan pada tahun 1993 dan mula beroperasi pada tahun 1996. Diasaskan pada awalnya oleh syarikat kepunyaan kerajaan iaitu DRB-HICOM. Pada tahun 2001, syarikat yang dibebani dengan hutang yang amat banyak telah diambil alih oleh Tony Fernandes melalui syarikatnya Tune Air Sdn Bhd. Beliau merupakan bekas eksekutif syarikat Tune Warner. Tune Air Sdn Bhd adalah nama yang diguna pakai selepas Tony pengambil alihan pada harga token RM1.00.
Sejak diambil alih, Air Asia telah berjaya merekod dan meraih pelbagai anugerah serta bersaing sengit dengan syarikat-syarikat penerbangan yang lain termasuk MAS Berhad. Hanya dalam masa satu tahun sahaja Tony Fernandes telah berjaya menyelesaikan masalah beban hutang syarikat. Beliau telah berjaya membaiki prestasi Air Asia dan merekodkan keuntungan.
Hub pertama yang dilancarkan oleh Air Asia ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Di hub pertama, Air Asia memperkenal banyak laluan penerbangan yang baru dengan tawaran harga yang amat murah. Hub kedua pula mula beroperasi pada tahun 2003 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang berdekatan dengan Singapura.
Laluan luar negara pertama yang dilancarkan oleh Air Asia berjaya melonjakkan namanya di sana. Namun jika cabaran untuk bersaing tidak disahut dengan formula yang bersesuaian untuk berjaya, Air Asia pasti akan kecundang. Tony Fernandes merupakan tokoh yang amat berwibawa dalam menentukan nama Air Asia kekal berjaya di Asia dan mula menempah nama di rantau yang lain.
Secara amnya, Air Asia berjaya mencatat kejayaan demi kejayaan kerana pihak pengurusan dibawah pimpinan Tony Fernandes mengamalkan sistem pengurusan kos yang efektif. Dalam banyak hal, kos yang rendah amat diutamakan. Air Asia pada awalnya memulakan operasinya dengan kos yang rendah jika dibandingkan dengan pesaing yang terdekat MAS. Strategi menurunkan kos permulaan perniagaan ialah dengan membeli kapal terbang terpakai.
Kapal terbang terpakai sudah semestinya berharga lebih murah daripada kapal terbang yang baru. Ini adalah strategi awal. Setelah syarikat sudah mencatat keuntungan dan mempunyai dana yang lebih, kapal terbang yang dibeli pada peringkat awal ini diganti dengan kapal terbang baru secara berperingkat. Selain kos permulaan, kos operasi dan kos harian seperti gaji kakitangan, bayaran untuk kapal terbang mendarat dan sebagainya juga dikenal pasti sebagai komponen kos yang perlu diuruskan pada tahap yang rendah juga.
Bagaimanakah pula Air Asia berjaya mengurangkan kos penggajian kakitangannya termasuk juruterbang? Kos juruterbang pada kebiasaannya merupakan salah satu komponen kos yang paling tinggi yang perlu dibelanjakan oleh pihak syarikat penerbangan. Pihak pengurusan Air Asia walaubagaimanapun berjaya melakukan yang sebaliknya.
Terdiri daripada kumpulan pengurusan yang sangat bijak untuk mengambil peluang, Air Asia bertindak ketika syarikat lain mengalami tempoh perniagaan yang sukar. Banyak syarikat penerbangan lain memecat juruterbang-juruterbang mereka akibat peristiwa 11 September 2001. Selepas kejadian tersebut, banyak syarikat penerbangan tidak dapat menanggung kos operasi kerana ramai orang tidak berani untuk membuat perjalanan menaiki kapal terbang kecuali segelintir sahaja atas sebab terpaksa atau kecemasan.
Banyak syarikat penerbangan yang lain terpaksa memberhentikan laluan penerbangan yang tidak memberi keuntungan kepada mereka. Oleh sebab itu, ramai juruterbang hilang punca pendapatan akibat dibuang atau kurang melakukan penerbangan. Air Asia mengambil peluang ini dan menawarkan peluang kerja kepada juruterbang-juruterbang yang telah dipecat ini untuk berkhidmat dengan mereka.
Akan tetapi Air Asia mempunyai kuasa yang lebih pada waktu itu kerana skim atau pakej penggajian yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah daripada syarikat penerbangan pesaing. Juruterbang yang terdesak untuk bekerja akan menerima tawaran Air Asia walaupun pakej penggajian tidak begitu menarik.
Walaubagaimanapun, Air Asia akan memberi inisiatif dalam bentuk lain kepada kakitangan mereka. Ianya berdasarkan kecemerlangan prestasi kerja berbanding satu pakej yang sama rata. Kos juga dikurangkan dari segi struktur penggajian kerana Air Asia mengamalkan sistem pelbagai tugas untuk satu kakitangan.
Seorang kakitangan yang mengendalikan kaunter daftar masuk akan juga menguruskan pelanggan semasa hendak menaiki kapal terbang. Kakitangan ini jugalah yang akan meguruskan lain-lain urusan mengemaskini rekod dan sebagainya. Oleh itu tiada duplikasi kerja dan tiada pembaziran tenaga kerja. Kos berkaitan kakitangan diuruskan dengan sangat berkesan dan efektif. Pihak Air Asia akan memastikan kos dapat dikurangkan selagi ianya tidak melanggar mana-mana syarat atau undang-undang buruh dan sebagainya.
Kos penjualan tiket merupakan satu lagi komponen kos yang amat dititik beratkan oleh pihak Air Asia. Di zaman teknologi maklumat yang canggih, hampir setiap orang terlibat dengan kemajuan internet. Masing-masing teruja dan menganggap sesiapa yang tidak arif tentang penggunaan internet merupakan golongan yang tertinggal. Merebut peluang ini, Air Asia mengambil langkah untuk menawarkan cara pembelian tiket penerbangan melalui internet secara atas talian.
Tindakan ini adalah untuk mengurangkan kos operasi pengendalian kaunter tiket dan sebagainya. Dengan Air Asia, pelanggan tidak perlu menelefon atau pergi ke kaunter tiket. Mereka boleh membuat tempahan secara atas talian. Pelanggan juga sebenarnya tidak dibebani dengan kos-kos seperti kos pengangkutan untuk ke kaunter tiket dan sebagainya. Oleh sebab itu, lebih ramai yang menggemari sistem pembelian secara atas talian dan ini menambahkan jualan dan seterusnya prestasi perniagaan Air Asia.
Mungkin ramai tidak menyedari bahawa kos untuk menerbangkan sebuah kapal terbang dan membuat pendaratan di sesebuah lapangan terbang adalah berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Jika syarikat MAS menawarkan laluan penerbangan dan mendarat kapal terbangnya terus ke Hong Kong, Air Asia pula menerbangkan kapal terbangnya ke Macau.
Kos yang dikenakan untuk penerbangan dan mendaratkan kapal terbang ke Hong Kong dan Macau sangat berbeza. Jurang kos yang amat besar. Dengan kos penerbangan dan mendarat kapal terbang yang rendah, Air Asia dapat menurunkan harga tiket untuk menarik ramai orang membeli daripada Air Asia. Pelanggan masih boleh ke Hong Kong tetapi berbelanja dengan lebih jimat.
Penjenamaan adalah juga merupakan satu komponen yang dititik beratkan oleh Tony Fernandes untuk membawa Air Asia ke tahap yang tinggi serta mampu bersaing dengan syarikat penerbangan gergasi yang lain. Air Asia mengamalkan kaedah kerja yang lebih fokus untuk memberi peluang kepada setiap orang supaya mereka mampu terbang dengan Air Asia. Ianya bermula dengan misi menawarkan harga tiket yang amat rendah sehingga RM1.00 untuk menarik perhatian ramai.
Kaedah siapa cepat dia untung adalah prinsip penjualan tiket yang digunakan. Jika anda membeli tiket untuk penerbangan sebulan dari tarikh pembelian, kemungkinan besar anda akan dapat membeli tiket pada harga yang lebih rendah berbanding jika tempoh perjalanan yang lebih dekat dengan tarikh pembelian tiket.
Kaedah penjualan tiket yang tidak serata dari segi harga dan sebagainya membolehkan Air Asia memastikan hampir setiap penerbangan adalah dengan kapasiti penumpang yang penuh. Produk makanan dan lain-lain pula disediakan kepada sesiapa yang membuat pembelian sahaja. Dengan cara ini, Air Asia akan hanya membuat tempahan mengikut pembelian oleh pelanggan. Tiada pembaziran berlaku! Pengurusan pembaziran yang cekap adalah satu strategi yang bijak untuk merekodkan kejayaan Air Asia.
Dari segi penjenamaan pula, Tony Fernandes bijak menggunakan pengalaman beliau untuk membuat pemasaran yang strategik dan bekerjasama dengan orang kuat Virgin iaitu Sir Richard Branson. Air Asia X dimulakan hasil kerjasama dengan Virgin. Kesinambungan kerjasama ini dapat dilihat dengan kejayaan Air Asia menawarkan penerbangan ke negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis dan lain-lain.
Bermula sebagai jaguh kampung dan menerbangkan pelanggan sekitar destinasi domestik, Air Asia sekali lagi mengambil peluang untuk maju dalam penerbangan ke destinasi di luar negara. Walaupun ia mengambil masa yang agak lama untuk membuahkan hasil, segala usaha yang dibuat untuk penjenamaan adalah atas berkat kesabaran Tony Fernandes.
Masalah dan rintangan merupakan asam garam dunia perniagaan. Air Asia juga tidak terkecuali daripada mendapat kritikan daripada banyak pihak apabila pengurusan jadual penerbangan yang selalu mengalami kelewatan dan sebagainya. Tetapi pihak pengurusan Air Asia tidak berdiam diri begitu sahaja. Segala kritikan dan rungutan akan dibawa ke pihak atasan untuk rundingan dan perbincangan lanjut serta mencari jalan penyelesaian.
Penambahbaikan sentiasa diamalkan sehingga segala rungutan dan kritikan dapat diatasi. Pada waktu ini, setelah lebih sepuluh tahun beroperasi, Air Asia mampu berdiri tegak dan megah dengan keupayaan mereka untuk menangani masalah tersebut.
Sabar adalah asas untuk berjaya walaupun tahap perniagaan anda sudah berada tinggi seperti Air Asia. Tony Fernades pernah mengeluarkan ucapan bahawa pihaknya sudah mencuba dan menunggu berthaun-tahun untuk mendapat sesuatu laluan penerbangan. Mereka tidak berputus asa dan akhirnya berjaya mendapatkan hak laluan yang mereka inginkan.
Begitu juga dengan hasrat Air Asia untuk membeli satu pasukan bola sepak di United Kingdom. Mereka tidak berputus asa dan terus mencuba. Rundingan demi rundingan dijalankan dan akhirnya pada tahun 2011, Air Asia berjaya membeli satu pasukan bola sepak. Mengapakah langkah ini penting? Ia merupakan salah satu strategi kearah penjenamaan serta cara untuk syarikat penerbangan ini mengorak langkah untuk menembusi pasaran di Eropah pula.
Apabila jenama Air Asia sudah sebati dengan peminat pasukan bola tersebut, sekali gus rakyat di United Kingdom akan mengenali Air Asia sebagai satu jenama yang perlu dipilih. Inilah peluang keemasan yang Air Asia nantikan!
Air Asia juga menawarkan servis sampingan yang dirasakan perlu untuk pelanggan-pelanggannya. Air Asia sangat prihatin terhadap permintaan atau kehendak pelanggan. Tunes Hotel disediakan untuk mereka yang memerlukan tempat penginapan yang asas semasa mereka dalam perjalanan. Air Asia menawarkan khidmat penginapan dengan kadar yang rendah terutama kepada kepada sesiapa yang sudah membeli tiket penerbangan Air Asia. Satu pakej yang menguntungkan kedua belah pihak.
“The more you give, the more you will get” adalah pepatah yang diamalkan oleh pihak Air Asia. Banyak bantuan kewangan yang telah dihulurkan oleh syarikat untuk mengurangkan bebanan golongan miskin dan sebagainya.
Dari segi pertolongan yang tidak mengeluarkan wang secara terus pula, Air Asia boleh dikatakan agak aktif untuk menghulurkan bantuan penerbangan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di negara yang ditimpa bencana seperti di Indonesia atau krisis perang saudara seperti di negara Teluk dan sebagainya. Mereka percaya pulangan yang akan diperolehi daripada keprihatinan mereka ini akan datang pada bila-bila masa dan dalam pelbagai bentuk.
0 comments:
Post a Comment