Search This Blog

Sunday, October 12, 2014

Dulu saintis, kini usahawan kelisa

Oleh SHAH NIZAM OMAR

HARGA ikan kelisa semakin mahal jika ikan itu semakin membesar.


SEBAGAI seorang saintis yang mengkaji kehidupan flora dan fauna menjadi titik tolak kepada Mohd. Zalalnudin Latipi, 31, membuka sebuah kedai menjual spesies ikan terancam kelisa atau juga dikenali sebagai arowana.

Demi minatnya yang berputik sejak kecil Mohd. Zalalnudin nekad meninggalkan jawatannya sebagai seorang saintis. Minatnya kian bercambah apabila beliau berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sosiologi Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah.

Ikan kelisa kepada Mohd. Zalalnudin bukan sekadar ikan hiasan malah kepada mereka yang tahu menilainya, ia boleh menjadi sumber pendapatan.

Harganya mampu mencecah ribuan ribu ringgit selain ia digemari oleh kaum Cina di negara ini yang dipercayai membawa tuah kepada pemiliknya.

Namun Mohd. Zalalnudin tidak menyangka hobinya yang suka memelihara ikan itu mampu memberikannya sumber pendapatan tetap kepadanya.

"Dulu saya hanya bela ikan ini di rumah dan saya ada tujuh akuarium di rumah untuk mengisi ikan-ikan ini.

"Namun pada tahun 2005 saya mengambil keputusan untuk berhenti sebagai seorang saintis kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam perniagaan menjual ikan kelisa," katanya.

Mohd. Zalalnudin tidak menyangka, kedai yang baru dibukanya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat malah ikan kelisa juga mendapat permintaan daripada orang Melayu.

"Selain orang Cina, orang Melayu juga menunjukkan minat terhadap ikan ini dan sanggup membelinya walaupun pada harga yang mahal.

"Mereka yang datang ke kedai ini sanggup menghabiskan masa berjam-jam semata-mata mahu melihat kecantikan dan kelicikan ikan kelisa," katanya.

Menyentuh penjagaan ikan kelisa, beliau memberitahu, tidak susah untuk membelanya tetapi perlu memastikan air yang digunakan dicampurkan dengan ubat antiklorin.

"Antiklorin perlu dicampurkan mengikut sukatan yang ditetapkan selain memberi makanan kepada ikan mengikut waktu.

MOHD. ZALALNUDIN menunjukkan buku berkaitan ikan kelisa kepada pelanggan di kedainya, Star Arowana, di Jalan Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.


"Ikan ini kebiasaannya makan sejenis ulat yang banyak dijual di pasaran. Lipas dan cengkerik juga boleh diberi tapi lebih baik beli sahaja di pasaran kerana ditakuti serangga ini membawa racun dan mati jika memakannya," katanya.

Jelasnya, bagi memenuhi permintaan ikan kelisa di kedainya itu, beliau telah membeli dua buah kolam ikan kelisa di Bukit Merah, Perak.

"Kebanyakan ikan-ikan yang ada di kedai di bawa dari sana dan kita akan pilih ikan-ikan terbaik sebelum dipamerkan di kedai bagi menarik minat orang ramai," katanya.

Di kedainya terdapat lebih 200 ekor ikan kelisa pelbagai variasi seperti Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana, Malaysia Super Red Arowana, Indonesia Chili Red dan sebagainya.

Lebih istimewa, harga ikan kelisa semakin meningkat jika ikan itu kian membesar.

"Bagi saya ikan ini memang membawa tuah kepada pemiliknya.

"Ikan ini juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara penjagaan ikan kelisa mereka boleh datang terus ke kedai saya," katanya.

Bagi mereka yang ingin melihat ikan-ikan yang dijual di kedai Mohd. Zalalnudin, kedainya itu terletak di Star Arowana World di Jalan Seberang Perak, Alor Setar.


0 comments:

Post a Comment