Search This Blog

Sunday, October 12, 2014

Hafizah usahawan berjaya

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
Bekas pekerja bank kini miliki kilang sarung tangan pakai buang, sedia peluang kerja kepada penduduk setempat





LAWATAN: Zainal (tengah) melihat operasi membuat sarung tangan di kilang milik Hafizah (kiri) dalam lawatannya ke Kampung Sungai Chenaam, Sungai Setar Kecil, Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi terutama sektor pembuatan yang menjadi penggerak utama dalam pertumbuhan ekonomi negara. Ini kerana, PKS boleh dijadikan sebagai tulang belakang dan pendukung dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020.

Secara umumnya, PKS membuka banyak peluang pekerjaan, membantu melahirkan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja baik di peringkat pekerja mahupun peringkat pengurusan dan membantu dalam meningkatkan arus pemindahan teknologi asing. Oleh itu, tidak hairanlah ada individu yang sanggup melabur untuk menceburi bidang PKS kerana menyedari peluang dan keuntungan yang mampu diraih. Selain bertujuan mendapatkan keuntungan, PKS adalah industri yang menyedia peluang pekerjaan terutama penduduk setempat, lebih-lebih lagi jika tapak pengeluarannya terletak di luar bandar.

Bagi menyahut seruan kerajaan menggalakkan PKS terutama di luar bandar, seorang wanita, Hafizah Mohd Isa, memberanikan diri membina sebuah kilang menghasilkan sarung tangan pelbagai guna pakai buang di Kampung Sungai Chenaam di sini. Kilang yang diberi nama Metro Glove Suppliers (MGS) yang ditubuhkan pada 2001 dengan modal pusingan RM100,000, selain modal membeli 100 mesin menjahit bernilai RM200,000.

Hafizah, 38, ibu kepada seorang anak perempuan, beruntung kerana mendapat sokongan dan dorongan daripada suami, Mohadzir Ahmad, untuk menceburi perusahaan yang jarang disertai Bumiputera. Pengurus berjiwa besar ini menyewa tanah milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Chenaam pada kadar RM500 sebulan untuk membolehkan kilangnya beroperasi.

Siapa sangka kilang kecil dengan 45 pekerja itu kini mampu mengeluarkan sehingga 15,000 dozen sarung tangan pelbagai guna dan mampu memperoleh pendapatan sehingga RM70,000 sebulan. Produk keluarannya juga menjadi pilihan kilang besar di negeri ini kerana memenuhi kehendak pasaran dengan berkonsepkan pakai buang. Buatan dan kualiti sarung tangan yang dihasilkannya juga diakui setanding dengan buatan luar negara oleh pihak industri. Lebih membanggakan lagi, kilang kecil yang terletak agak jauh dari bandar besar ini memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat khasnya golongan wanita yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal.

"Saya cuba menyahut seruan kerajaan menggalakkan Bumiputera menyertai bidang perniagaan dan industri. Pembabitan saya dalam bidang ini mendapat sokongan daripada suami kerana beliau juga terbabit dalam industri ini. “Lebih membanggakan saya sebagai seorang wanita, kilang ini dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk di kampung ini khasnya golongan wanita," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau bersyukur kerana mendapat pekerja yang berdedikasi walaupun kebanyakannya suri rumah yang tidak memiliki kelulusan atau pendidikan yang tinggi. Hafizah sendiri tidak percaya yang beliau mampu menjadi pengurus dengan menguruskan segala urusan perniagaan, operasi kilang, mencari pasaran dan berbincang dengan pelanggan. Namun berbekalkan pengalamannya yang pernah berkhidmat dalam institusi perbankan, ia menjadi kekuatan kepada dirinya untuk meneruskan perniagaan dengan bantuan suami. “Suami sangat menyokong dan dia adalah penguat semangat saya untuk terus berdiri dalam bidang ini," katanya.



Wanita ini turut membayangkan sasaran MGS untuk meneroka pasaran sarung tangan pelbagai guna pakai buang ini ke luar negara berdasarkan permintaan yang diterima bagi pasaran domestik. Kewujudan kilang ini pernah mendapat perhatian bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman yang menganggap ia adalah contoh kejayaan Bumiputera menceburi PKS dan membantu membangunkan kawasan luar bandar. Kata Zainal, kewujudan kilang itu membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi penduduk setempat dan ia wajar dicontohi pengusaha PKS Bumiputera di negara ini. "Ia adalah contoh kejayaan usaha kerajaan melahirkan usahawan PKS dan memajukan kawasan kampung," katanya.




0 comments:

Post a Comment